Selepas menyepi selama 15 tahun, penyanyi dangdut Amelina kembali memeriahkan industri hiburan sejak tiga tahun lalu.
Selain muncul dengan single Cinta Harus Seksi, Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, 43, turut kembali berlakon dalam telefilem raya berjudul Diva Raya yang ditayangkan di saluran Astro pada hari raya ketiga lalu.
Kali terakhir Amelina yang digelar ratu dangdut ini berlakon dalam sitkom fenomena berjudul Sambal yang ditayangkan di TV3 pada 1995.
Amelina berkata, walaupun wujud perasaan malu, namun dia seronok apabila dapat berlakon semula selepas lebih 20 tahun tidak berlakon.
“Memandangkan Aidilfitri tahun ini saya tak terbabit sebarang program raya, jadi tawaran yang diberikan itu saya tak berfi kir panjang untuk terima. Walaupun pada awalnya keinginan itu berbelah bahagi, dalam hati saya tetap nak buat. Orang kata nak lepaskan rindu dalam bidang lakonan pula.
“Disebabkan dahulu saya tak banyak belakon, jadi tak dinafi kan apabila kembali berada di lokasi penggambaran, saya berasa malu. Timbul tanya dalam diri sama ada saya masih boleh berlakon atau tak. Bukan apa apabila berlakon memerlukan kita menjadi orang lain.
“Alhamdulillah watak yang diberikan kepada saya dalam telefilem itu sangat mudah. Pendek kata tak sukar untuk saya serap watak itu dalam diri. Apatah lagi watak itu wujud dalam kehidupan seharian,” katanya.
Menurut Amelina, dia tidak mahu berhenti setakat telefilem itu sebaliknya bersedia berlakon dalam karya lain selepas ini.
Pada masa sama Amelina juga ingin menyahut cabaran melakonkan watak berat biarpun selesa melakonkan watak komedi dan ringan.
“Insya-Allah sekiranya ada tawaran lain, saya nak buat lagi. Saya belum puas berlakon dalam telefi lem itu. Bukan apa, saya nak buat yang lebih baik lagi. Cuma kalau boleh biar watak ringan dahulu.
“Saya okey saja nak lakonkan watak berat, tetapi perlu ambil masa sedikit. Mungkin saya perlu ambil kelas lakonan dengan Ogy Ahmad Daud atau Erma Fatima. Jika tidak, mesti pengarah jeritkan saya di lokasi,” katanya.
Cari lagu baru
Berkongsi mengenai kerjaya nyanyiannya, Amelina yang popular dengan lagu Rindu dah Ah Rindu Lagi kini dalam proses mengumpul material baru bagi single terbaru.
“Buat masa sekarang saya masih mencari material sesuai untuk single terbaru. Diakui bukan mudah nak mendapatkan lagu yang sedap dan menangkap telinga pendengar. Pada masa sama saya masih nak mengekalkan sentuhan muzik lama. Itu yang susah nak dapat.
“Disebabkan itu saya perlu berhati-hati dalam menghasilkan single baru. Saya tak nak main asal buat saja. Sebagai langkah awal saya mengumpul sebanyak mungkin lagu dan meminta pendapat rakan berkenaan lagu itu.
“Kalau boleh saya nak perdengarkan kepada stesen radio juga sama ada lagu itu sesuai untuk pasaran sekarang atau tak. Bukan apa saya nak kekalkan identiti dan memori lama. Malah, peminat pun lebih suka lagu lama saya,” katanya.
Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Amelina meraikannya dalam suasana serba sederhana.
Bagi Amelina, dia tidak perlu membazir atau berlagak mewah kerana apa yang lebih penting adalah masa bersama enam anaknya dan keluarga tercinta.
“Dari dulu saya didik anak untuk bersederhana. Saya tak nak mewahkan mereka kerana kalau satu hari tak dapat bimbang jadi lain pula. Macam tahun ini saya sibuk berniaga kuih raya dan menjayakan persembahan.
“Jadi mana yang sempat saja saya sediakan buat mereka.Lagipun, mereka faham keadaan saya yang perlu keluar bekerja. Alhamdulillah saya banyak dibantu adik, mak dan orang sekeliling,” katanya.
Sumber : MyMetro