Wanita Dari P.Pinang Sanggup Botakkan Rambut Demi Kempen Amal


GEORGE TOWN - Rambut panjang yang kerinting milik N. Anchali dicukur botak demi menjayakan sebuah kempen amal.

“Saya rasa sedih tetapi gembira apabila rambut saya dicukur kerana ia untuk kebaikan,” kata guru itu.

Wanita berusia 22 tahun ini ditemui di kempen ‘Go Bald, Go The Distance- Charity Head-shaving & Food Carnival 2017’ di Hospital Adventist Penang, Ahad.

Anchali adalah salah seorang daripada 180 peserta yang membotakkan kepala sepanjang tempoh kempen itu sebagai usaha untuk membantu Doktor J. Earl Gardner meraih derma untuk pesakit berpenyakit kronik yang memerlukan.

Lee Ean Teng, menarik perhatian ramai apabila dia berdiri di atas pentas dengan bersemangat untuk menjalankan kempen tersebut.

Ean Teng, 87, adalah anak kepada Lee Chin Hin yang pernah bekerja di bawah Dr Gardner.

Pada 1942, Dr Gardner dan isterinya, Dr Ethel-Swing Gardner tiba di Pulau Pinang dan membuka sebuah klinik yang dikenali sebagai Mission Clinic di Jalan Muntri dekat sini.

“Saya gembira untuk menyumbang kepada komuniti,” kata Ean Tang.

Seorang lagi peserta, Ewe Ea Yong yang usianya baru mencecah 22 bulan.

Ayahnya, Ewe Kok Howg, 40, berkata selain Ea Yong, dia membawa dua anak lelakinya, Ewe Ea Xan, 6, dan Ewe Ea Zen, 9, untuk menyertai kempen itu.

“Ini adalah kali kedua kami menyertai kempen amal ini. Kali pertama pada 2012,” katanya yang bertugas sebagai jurutera.

Seorang lagi jurutera, Yangson Tan, 28, bersama isterinya yang merupakan jururawat di hospital itu, Wei Jun Li, 25, serta ibu mertuanya, Yip Kim Foong, 53, juga membotakkan kepala mereka.

“Ini kali pertama kami botak bersama-sama. Tidak mengapa, kerana rambut saya akan tumbuh semula,” kata Yangson Tan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, juga menyertai kempen tersebut.

Kempen amal itu juga menampilkan persembahan oleh Dasha Logan, anak perempuan kepada lagenda Loganathan, salah seorang ahli kumpulan Alleycats, serta Starz Band, serta acara cabutan bertuah.

Ketua pegawai eksekutif Hospital Adventist Penang Ronald Koh berkata, kempen ‘Go Bald, Go The Distance’ mendapat sokongan komuniti di dalam dan di luar Pulau Pinang.

“Ini adalah edisi ketiga. Setiap kempen ‘Go Bald’ mempunyai sasaran berbeza dan kali ini, berharap kutipan derma mencecah RM1 juta,” katanya.

Sumber: Mstar Online