Wanita Di Kulim Dipenjara Miliki Rokok, Minuman Keras


KULIM - Seorang wanita dipenjara tujuh hari dan didenda RM26,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki 164 karton rokok putih dan rokok kretek serta 10 tin minuman keras iaitu bir yang dilarang import.

Majistret RManomani menjatuhkan hukuman itu terhadap S Savuntharam, 52,  dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 Julai lepas dan dikenakan penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, Savuntharam didakwa memiliki kesemua barangan larangan import  iaitu rokok dan minuman keras bernilai RM2, 561.35 itu di sebuah premis beralamat No. G-696, Lorong Senangin 3/5, Taman Senangin di sini pada 4 petang, 11 Julai lalu.

Kesemua rokok yang dirampas itu merupakan barang larangan di bawah Perintah Larangan Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 kerana tidak mematuhi syarat diperuntukkan di bawah Butiran 1, Bahagian II, Jadual Ketiga dalam perintah itu.

Sementara itu, kesemua bir dirampas adalah barang larangan di bawah Perintah Larangan Kastam (Larangan Mengenai Import) 2012 kerana tidak memenuhi syarat diperuntukkan di bawah Butiran 2, Bahagian II, Jadual Ketiga dalam perintah berkenaan.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii) akta sama, iaitu memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, sepasukan Kastam Cawangan Penguatkuasaan Sungai Petani, Kedah diketuai Abd Rahim Yahaya bersama tiga anggota membuat satu serbuan di premis beralamat Shanthi Catering Senangin Corner milik tertuduh di Taman Senangin pada masa dan tarikh sama.

Hasil pemeriksaan pasukan penguatkuasaan di premis itu menemui sejumlah rokok putih dan rokok kretek yang disyaki tidak berkastam disimpan di bahagian bawah tangga premis itu serta sejumlah bir yang turut disyaki tidak berkastam disimpan berhampiran rak barang premis berkenaan.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menunjukkan bukti bahawa barangan itu lulus Kastam dan menyebabkan pihak berkuasa membuat penyitaan barang serta tertuduh ditahan dan dibawa ke Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia Cawangan Penguatkuasaan Sungai Petani untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan kes itu diwakili Penguasa Kastam Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam Karthy Gasedevail Deva Rajoo manakala tertuduh diwakili Peguam, A Chandra Segaran Achannah.

Sumber: Sinar Harian