Wanita Dilaporkan Hilang Diserang Histeria Di Tasik Biru


SEORANG wanita dipercayai diserang histeria selepas dia bersama 11 individu lain ditemui sejurus dilaporkan hilang di sebuah kawasan kuari dikenali Tasik Biru di Kangkar Pulai, Johor Bahru, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, 12 individu iaitu tujuh wanita dan lima lelaki dilaporkan sesat di lokasi berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Azrai Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 9.30 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Kita menerima maklumat bahawa terdapat 12 individu yang sesat di dalam hutan di kawasan berkenaan dan dalam operasi ini, 11 daripada mereka ditemui selamat, manakala seorang wanita cedera.

"Kami dimaklumkan mangsa cedera selepas diserang histeria," katanya.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dalam kejadian itu berusia antara 19 hingga 36 tahun sebelum operasi ditamatkan pada 11.13 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad mengesahkan pihaknya menerima maklumat pada 9 malam berhubung 12 individu yang belum keluar dari kawasan berkenaan.

"Hasil tindakan polis bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta orang awam berjaya membawa mereka turun pada 9.45 malam dalam keadaan selamat," katanya.

Sumber: Metro