BUTTERWORTH - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah penderitaan dialami wanita yang kehilangan kaki kanan akibat kencing manis sehingga terpaksa bergantung pada jiran bagi menguruskan keperluan diri, termasuk memasak.
Beedoh Sama Ae, 47, yang mendapat taraf kewarganegaraan, dua tahun lalu sering dihimpit kesempitan kerana perlu membayar sewa rumah di Flat Sri Pinang, Sungai Puyu, dekat sini, RM270 sebulan sedangkan hanya bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan.
Dia yang juga isteri kedua kepada lelaki berusia 80 tahun tidak dikurniakan zuriat dan hanya jiran menjadi tempat bergantung setiap kali mahu ke bilik air kerana dia perlu dibantu ketika mahu duduk di atas kerusi roda.
“Saya hanya terperap dalam rumah yang disewa sejak tujuh tahun lalu. Setiap kali mahu ke bilik air, saya akan menjerit memanggil jiran kerana sukar berdiri.
“Jika hendak menggunakan kerusi roda pun saya perlu dibantu kerana bimbang jatuh, malah saya pernah jatuh dalam bilik air tetapi bernasib baik tidak cedera.
“Suami saya balik dua hari sekali dan kami pula belum dikurniakan zuriat,” katanya yang boleh dihubungi di talian 012-4568264.
Sumber: MyMetro