Wanita Mengandung Antara Ditahan


SHAH ALAM - Seorang wanita sarat mengandung lapan bulan antara 48 warga asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam operasi di sekitar Kampung Bukit Naga, Seksyen 32 di sini, awal pagi tadi.

Sebahagian daripada 13 wanita dan dua kanak-kanak yang ditahan ketika serbuan Jabatan Imigresen Selangor dan Putrajaya di beberapa buah rumah kongsi di Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
Mereka yang ditahan melakukan kesalahan berada di negara ini tanpa dokumen yang sah serta tinggal lebih masa.

Pengarah Imigresen Selangor, Omran Omar berkata, dalam operasi selama dua jam bermula kira-kira jam 1 pagi tadi, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Selangor berjaya menahan seramai 32 lelaki, 13 wanita dan tiga kanak-kanak.

"PATI yang ditahan berusia antara tiga hingga 55 tahun itu terdiri dari 29 warga Indonesia, 10 warga Bangladesh, lima warga Myanmar dan empat warga Nepal.

"Seramai 206 warga asing diperiksa di tiga lokasi berbeza yang terletak berhampiran antara satu dengan lain iaitu rumah kongsi serta asrama pekerja di situ. 

Sebahagian daripada 32 pekerja warga asing lelaki yang ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Selangor dan Putrajaya di beberapa buah rumah kongsi di Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
"Mereka bekerja di kilang plastik, kilang roti, kilang besi serta ada yang bekerja sebagai pencuci dan pembantu kedai makan," katanya kepada pemberita selepas operasi tamat.

Omran berkata, mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana kesalahan tiada dokumen yang sah dan Seksyen 15(1)(c), kerana tinggal lebih masa.

Beliau berkata, semua tahanan dibawa ke Jabatan Imigresen di Shah Alam untuk siasatan.

Katanya, tahanan wanita yang mengandung akan dijaga sehingga bersalin sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.

"Atas dasar kemanusiaan, sekiranya kandungan melebihi tujuh bulan, dia akan dibenarkan tinggal di Depoh Tahanan Sementara sehingga bersalin sebelum diusir ke negara asal," katanya.

Beliau berkata, operasi rutin dengan kekuatan 57 anggota Jabatan Imigresen Selangor itu turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor.

Sumber: BH Online