Wanita Terlibat Kes Tipu Pelaburan Koperasi Dicari Polis


PARIT - Polis sedang mengesan seorang wanita yang terlibat dalam kes penipuan pelaburan koperasi sebuah institusi kemahiran di Sungai Petani, Kedah membabitkan kerugian sebanyak RM224,500.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, wanita berkenaan Norsalawati Mohd. Ali, 43, dengan alamat terakhir di Taman Nilam Fasa 2, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah.

Katanya, suspek yang merupakan bekas kakitangan institusi berkenaan dikehendaki polis bagi membantu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Suspek menipu wanita berusia 56 tahun yang merupakan seorang pesara di Bandar Baru Seri Iskandar pada November 2013 dengan menawarkan pelaburan koperasi yang tidak wujud bagi pembelian peralatan dan mesin untuk keperluan pelajar di sebuah institut pendidikan di Sungai Petani, Kedah.

“Mangsa diyakinkan oleh suspek akan mendapat pulangan daripada pelaburan tersebut sehingga wanita terbabit terpedaya dan melabur wang sebanyak RM224,500 ke dalam tiga akaun bank secara berperingkat antara November 2013 hingga Mac 2014,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Perak Tengah di talian 05-3712222.

Sumber: Utusan Online