Wanita UMNO Pendang Giat Bantu Penduduk - Suraya Yaacob


PENDANG- Sebanyak 44 ketua Jaringan Rakyat (JR) Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang kini giat membantu rakyat di kawasan Parlimen itu untuk mengatasi masalah dihadapi mereka, kata Ketuanya Datuk Suraya Yaacob .

Beliau berkata setiap ketua JR itu ditugaskan menjaga antara 30 hingga 50 pengundi untuk mengetahui permasalahan dihadapi mereka serta menerangkan bantuan disediakan kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

"Isu kos sara hidup antara isu yang sering kali penduduk Pendang mengadu kepada kita. Jadi kita kena bantu mereka.

"Kena terangkan usaha kerajaan lakukan untuk membantu ringankan beban rakyat. Contohnya ada Kedai 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pendang di sinioleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Ghazali Ibrahim.

Suraya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang berkata penduduk luar bandar terutamanya masih memerlukan pendekatan bersemuka seumpama itu berbanding menerusi media elektronik.

Dalam pada itu, katanya bahagian itu kini giat melaksanakan pelbagai aktiviti yang menjurus ke arah persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum itu nanti.

- Bernama