Membantu keluarga angkat membuat persiapan menyambut Aidilfitri seperti memasak rendang, membuat kuih, mengemas rumah dan meraikan hari kebesaran itu bersama masyarakat Islam di Kampung Rawa, Lenggeng, Negeri Sembilan adalah pengalaman yang kekal terpahat dalam ingatan warga China, Zhang Jing Ling.
Walau tempoh bersama keluarga Azwan Alias hanya lapan hari, namun ia memberi pengalaman berguna terutama dalam menyiapkan tugasan universiti yang memerlukan dia mengenali dan mendekati masyarakat Minangkabau di Malaysia juga Indonesia.
Jing Ling yang tiba di Malaysia beberapa hari menjelang Aidilfitri ternyata tidak kekok dan cepat menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat di kampung itu.
Malah, sepanjang musim perayaan itu, Jing Ling ringan tulang membantu keluarga angkatnya melayan tetamu yang tidak putus-putus mengunjungi keluarga Azwan.
Dia juga mengambil kesempatan mengikut keluarga Azwan berhari raya dengan mengunjungi saudara-mara serta jiran tetangga di sekitar Lenggeng.
Sambil mengenakan baju kurung, Jing Ling yang membahasakan dirinya sebagai Melati kelihatan sangat selesa berpakaian tradisional Melayu itu walaupun pertama kali mencuba.
“Pada awalnya, kami agak keberatan menerima kehadirannya, maklumlah dia orang asing yang sangat berbeza cara hidup dan budaya.
“Saya bimbang kami tidak dapat memahami antara satu sama lain. Apatah lagi ketika itu, saya pula sangat sibuk dengan persiapan menyambut hari raya, sudah tentu saya tidak mampu melayannya seperti diharapkan.
“Tapi, Melati pandai menyesuaikan diri. Kehadirannya membantu meringankan tugas saya. Sifatnya yang ringan tulang dan berbudi bahasa benar-benar menyenangkan hati sehinggakan kami cepat mesra seperti satu keluarga,” kata isteri Azwan, Saadiah Othman.
Bagi Melati, menyambut Aidilfitri bersama masyarakat Kampung Rawa adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Keterujaan mula terasa beberapa hari menjelang Aidilfitri apabila dia diberi peluang memasak rendang dan membuat kuih-muih.
“Saya berasa mahu menjerit kegembiraan apabila kuih yang saya buat siap dimasak, macam tidak percaya pula ia hasil air tangan saya. Ini pertama kali saya berhari raya bersama masyarakat kampung. Ternyata ia berbeza dengan cara orang kota menyambutnya.
“Di sini, masyarakat masih mengekalkan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak-saudara dan jiran tetangga. Pada hari raya pertama, tetamu tidak putus-putus datang dari awal pagi hingga ke malam.
“Ia memang meletihkan kerana saya perlu menolong Kak Saadiah menghidangkan juadah, mengemas dan mencuci pinggan. Tetapi semua itu tidak terasa kala melihat kemesraan yang terjalin.
“Pada hari raya kedua, giliran kami pula mengunjungi rumah saudara-mara, jiran dan rakan taulan. Saya sangat seronok kerana masyarakat di sini ramah dan melayan saya dengan baik.
“Kesempatan berada di kampung itu juga saya gunakan untuk mencuba beberapa masakan Melayu seperti laksa Johor, nasi ayam, lemang, rendang, tart nanas, kuih bangkit dan seri muka,” ujar Melati.
LIDAH MELAYU
Apa yang menarik, Melati yang memiliki ijazah sarjana dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) fasih berbahasa Malaysia malah lidahnya tidak pelat seolah-olah dia anak jati negara ini.
Ia secara tidak langsung pasti menjadi tamparan hebat kepada sebilangan rakyat kita yang masih terkial-kial ketika menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara dalam perbualan.
Walaupun kemampuannya itu bertepatan dengan tugasnya sebagai tenaga pengajar Bahasa Malaysia di Communication University Of China (CUC) namun apa yang membanggakan adalah sikap Melati yang berusaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia di peringkat antarabangsa.
Malah, bagi menyiapkan tesis untuk melayakkan dirinya menggenggam PhD, Jing Ling memilih topik yang tidak jauh dengan kehidupan masyarakat Malaysia iaitu keturunan Minangkabau sebagai subjek kajian.
“Sebenarnya pada peringkat awal, ketika menuntut di CUC pada 2001, saya memilih Bahasa Malaysia sebagai subjek pilihan untuk bahasa asing kerana Malaysia dekat dengan Cina. Jadi, jika saya perlu ke sini untuk mendalami bahasa ini, ia tidak terlalu jauh.
“Namun, selepas mempelajari Bahasa Malaysia, saya mendapati ia bukan sahaja bahasa yang mudah difahami malah menyeronokkan untuk didalami.
“Lama-kelamaan saya jatuh cinta dengan bahasa Malaysia sehingga saya mempelajari secara tekun serta memperoleh Ijazah dalam Kesusasteraan Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2005.
“Ia sekali gus melayakkan saya menjadi tenaga pengajar Bahasa Malaysia di CUC sebelum melanjutkan pelajaran peringkat PhD di Universiti Peking. Kini saya sedang menyiapkan tesis atas topik budaya hidup orang Asia Tenggara dengan masyarakat Minangkabau menjadi subjek pilihan,” katanya.
Melati, 35, yang dilahirkan dan dibesarkan di Hangzhou, ibu kota wilayah Zhejiang, China, berada di Malaysia selama tiga minggu untuk melakukan kajian mengenai kehidupan masyarakat Minangkabau.
Selain Lenggeng, dia turut meninjau kehidupan masyarakat Minang di Rembau dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan di samping mendapatkan fakta melalui carian di laman maya serta rujukan di perpustakaan.
Sebelum ke Malaysia, Melati menghabiskan masa selama hampir setahun menjelajah ke seluruh Sumatera Barat, Indonesia.
Melalui kajian ini, ibu kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun itu dapat membuat perbandingan antara masyarakat Minang di Indonesia dan Malaysia.
“Masyarakat Minang di Indonesia masih mengekalkan cara hidup dan nilai tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang mereka seperti soal adat, perkahwinan, pembahagian harta malah reka bentuk rumah.
“Dalam soal perkahwinan, mereka masih mengekalkan tradisi kahwin sesama Minang. Dalam soal harta pula, hak wanita masih diutamakan.
“Ia agak berbeza di Malaysia di mana generasi Minang sekarang sudah terbuka soal jodoh. Contohnya, sudah berlaku perkahwinan campur antara orang Minang dengan orang Kelantan.
“Namun, semasa di Rembau dan Kuala Pilah, saya dapati Adat Perpatih masih diamalkan oleh masyarakat di sana.
Saya tidak pasti selama mana adat ini dapat dikekalkan kerana sudah ada juga orang Minang yang tidak mengamalkannya,” kata Melati.
Apa pun sebagai rangkuman, kata Melati, orang Malaysia sangat baik!
Sumber: MyMetro