Warga Emas Maut Dikelar Anak


JEMPOL – Seorang lelaki warga emas ditemui mati dikelar pada leher dipercayai dibunuh oleh anak lelaki–nya yang di Felda Lui Timur dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, mayat peneroka, S. Valaytham, 73, ditemui oleh anggota polis dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di ruang tamu rumahnya.

Difahamkan, suspek yang merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik dan sudah berkahwin berang dan menyerang bapanya selepas tidak mendapat sejumlah wang yang diminta daripada mangsa.

Suspek juga dikatakan kerap pulang ke situ sebelum ini untuk meminta wang daripada warga emas tersebut.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd. Noor berkata, sebelum kejadian, polis menerima panggilan ekoran timbul kekecohan selepas seorang lelaki mabuk di sebuah kedai runcit dan kedai makan di kawasan berkenaan pada pukul 8.30 malam.

“Anggota polis telah pergi ke lokasi dan menasihati lelaki berusia 45 tahun terbabit supaya tidak membuat kecoh dan memintanya pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, dua jam kemudian, kami sekali lagi menerima laporan mengenai bunyi bising dari sebuah rumah dan apabila anggota polis memeriksa rumah berkenaan, mereka menjumpai mayat seorang lelaki warga emas berlumuran darah dengan kesan kelar sepanjang 18 sentimeter pada leher,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sumber: Kosmo