SEPANG - Seorang lelaki warga Vietnam ditahan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini Jumaat lalu kerana cuba menyeludup 36 kilogram (kg) bahan hampir siap berasaskan gading gajah bernilai RM300,000.
Suspek berusia 44 tahun ditahan jam 10.30 malam dan kini direman 14 hari bermula Sabtu lalu hingga 28 Julai ini bagi membantu siasatan.
Pengarah JKDM KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata, suspek ditahan bersama tiga bagasi dan hasil imbasan ke atas isi kandungannya mendapati dua daripadanya mengandungi 10 bungkusan bahan hampir siap gading gajah.
“Bahan itu dimuatkan dalam guni plastik dan disorokkan dalam kedua-dua bagasi manakala satu lagi bagasi berisi pakaian,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Kastam KLIA Abdull Wahid Sulong.
Hamzah berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke Malaysia menerusi penerbangan Ethiopian Airlines dari Addis Ababa, Ethiopia dan ia kali ketiga dia memasuki Malaysia melalui KLIA.
“Suspek masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong, malah kedatangannya sebelum ini juga dengan tujuan sama,” katanya.
Beliau berkata, bahan berasaskan gading gajah itu dipercayai dari Afrika dan kebanyakannya dijual sebagai barang keagamaan dan perhiasan.
“Pengimportan gading gajah atau sebarang produknya dilarang pengimportannya mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian III kecuali dengan Permit Import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Gading gajah juga tergolong dalam larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Pemerdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali permit,” katanya.
Sumber: MyMetro