Waspada Pihak Cuba Ubah Identiti Malaysia - Persatuan Belia Islam


KUALA LUMPUR – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) meminta kerajaan supaya terus berwaspada dengan usaha pihak tertentu untuk mengubah identiti Malaysia demi kepentingan mereka.

Presiden, Eqwan Roslan berkata, kumpulan terbabit kini bertindak membuat desakan demi desakan bagi menekan kerajaan Malaysia untuk mengubah identiti negara ini.

“Kerajaan perlu mempertegas perlaksanaan Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 3 tahun 2011 yang menyatakan Sejarah sebagai Mata Pelajaran Wajib Lulus SPM bermula tahun 2013.

“Selain daripada memelihara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, rakyat Malaysia juga harus memahami latar belakang sejarah Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan yang dipelajari dalam subjek sejarah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Eqwan berkata, memiliki SPM bukan sahaja penting daripada sudut kompetensi untuk berkhidmat dan keupayaan bertutur tapi sebagai pembentukan identiti dan asas perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Terdahulu, beliau menyambut baik keputusan Kabinet menolak usaha melonggarkan syarat Bahasa Melayu peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjadi pegawai perubatan kontrak di Kementerian Kesihatan.

“Ia selari dengan aspirasi rakyat Malaysia serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang menjadi identiti rakyat Malaysia.

“Jutaan terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersuara dalam hal ini dan berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu padu dalam mempertahan identiti negara,” katanya. - Kedahnews.com