Zambry Kesal Tandas Masjid Di Teluk Intan Kotor


IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meluahkan rasa sedih melihat keadaan tandas sebuah masjid di Teluk Intan berkeadaan kotor dan tidak dijaga dengan baik.

Menurutnya, keadaan itu dilihat secara kebetulan beliau singgah di masjid tersebut, kelmarin untuk menunaikan solat Zohor ketika dalam perjalanan ke Tanjung Malim sempena Program Permukiman Menteri Besar ke Daerah Mualim.


Beliau menjelaskan keadaan itu tidak seharusnya berlaku kerana Islam menitikberatkan kebersihan tambahan pula masjid tersebut terletak di kawasan yang menjadi tumpuan umum.

“Bukan sahaja bau yg tidak menyenangkan, keadaan lantai licin dan berlumut manakala peralatan untuk bersuci juga kelihatan tidak begitu bersih.

“Keadaan ini bukan sahaja mengurangkan keselesaan jemaah untuk beribadat, malah mendatangkan imej yang tidak baik kepada agama sedangkan Islam amat menekankan soal kebersihan,” katanya menerusi satu status yang dimuat naik ke dalam laman facebook beliau, semalam.

Zambry berkata, kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara tersebut, malah telah mengadakan Seminar Hammam yang khusus membicarakan soal kebersihan masjid dan surau pada Mei lalu.

“Saya sangat berharap perkara ini diambil perhatian. Jangan kita letakkan tanggungjawab atau hanya menyalahkan tok siak atau AJK surau atau masjid.

“Revolusi kebersihan masjid memerlukan komitmen semua pihak terutamanya ahli-ahli kariah,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan dan memastikan rumah ibadat sentiasa berada dalam keadaan baik dan selesa.

Status tersebut kemudiannya mendapat perhatian lebih 1,000 reaksi yang kebanyakan menyokong dan memberikan idea agar tandas masjid dapat dijaga supaya menjadi lebih bersih.

Sumber: Sinar Online