Zarul Okey Ditawar Watak Lebih Muda


KUALA LUMPUR – Jika ada pelakon yang merungut sering ditawarkan watak yang jauh lebih tua dari usia sebenar, lain pula dengan kisah Zarul Husin.

ZARUL bersyukur kerana diberi kepercayaan memegang watak muda berbanding usianya.
Baru sahaja terjun ke dalam dunia lakonan, Zarul, 44, yang juga vokalis kumpulan Umbrella sering mendapat watak yang jauh lebih muda berbanding usianya.

Tidak melihat ini sebagai suatu bebanan, kata Zarul, dalam waktu yang sama dia bersyukur untuk diberi kepercayaan membawakan watak-watak sebegitu.

“Belum lagi saya mendapat watak yang sama dengan usia saya, selalunya watak yang akan dimainkan berumur 30-an. Tidak susah mana sebab saya juga memang bergaul dengan rakan-rakan di dalam lingkungan umur begitu.

“Bagaimanapun, jika ada peluang untuk membawakan watak bapa misalnya, saya juga tidak ada masalah. Sebabnya memang itu kehidupan sebenar saya,” jelasnya kepada Utusan Online.

Memilih untuk berhenti menjadi seorang pramugara, Zarul pada awalnya berpendapat, rezekinya hanya dalam bidang nyanyian sahaja.

“Memang awalnya saya ingat, rezeki saya hanya akan menjadi penyanyi. Bagaimanapun, siapa sangka kini sudah diberi peluang berlakon pula.

“Memang berbaloi saya melepaskan tanggungjawab sebagai pramugara dan berada dalam dunia seni semula,” kata Zarul yang namanya kembali diperkatakan selepas menjadi finalis program Gegar Vaganza terbitan Astro.

Terbaharu, Zarul telah dilamar oleh sebuah syarikat produksi untuk membintangi sebuah telenovela 70 episod berjudul Hanya Kau Yang Satu.

Jelasnya, ini kali pertama dia akan terlibat dalam drama bersiri yang panjang sebagai pelakon utama.

Dalam masa sama, Zarul berkata, tiada sebarang masalah untuk dia membahagikan masa untuk dunia lakonan dan nyanyian. 

Sumber: Utusan Online