MIRI - Kira-kira100 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas sebuah rumah panjang di Long Aton, Sungai Tinjar, Baram dekat sini musnah terbakar malam tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, kejadian pada pukul 9 malam itu mengakibatkan rumah panjang 28 pintu tersebut musnah 100 peratus.
Menurutnya, pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.50 malam.
"Kita menghadapi kesukaran untuk ke lokasi kejadian kerana kawasan rumah panjang itu hanya boleh dilalui menggunakan feri dan jalan balak.
"Jarak perjalanan mengambil masa kira-kira enam jam untuk sampai ke lokasi kejadian. Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Poh Kiong menambah, punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi disiasat.
Sumber: Kosmo