11,368 Saman Dalam Tempoh Tiga Hari


KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,368 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam tempoh tiga hari pelaksanaan operasi bersepadu oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serentak di seluruh negara, berakhir tengah malam tadi.

Operasi bermula pada 10 Ogos lalu dan berakhir jam 12 tengah malam tadi dijalankan dijalankan di 11 lokasi sepanjang lebuh raya utara selatan membabitkan lima zon Utara, Selatan, Tengah A dan B termasuk Lebuh raya Pantai Timur (LPT).

Ketua Penolong Penguatkuasa JSPT Bukit Aman, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata operasi turut disertai agensi penguatkuasaan lain iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , Jabatan Imigresen dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta dibantu syarikat konsesi PLUS, dengan kekuatan keseluruhan 580 pegawai dan anggota.

Katanya, tujuan operasi adalah bagi mendidik pengguna jalan raya mematuhi peraturan selain mengkaji kesalahan yang sering dilakukan mereka hingga mengundang kepada kemalangan.

"Dalam operasi ini, fokus diberikan kepada penunggang motosikal selain tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang memandu melebihi had laju, pemeriksaan kenderaan perdagangan, op lampu isyarat dan op mabuk serta kesalahan lain.

"Secara keseluruhan, sebanyak 12,402 kenderaan diperiksa sepanjang tiga hari operasi dan mengeluarkan 11,368 saman dengan kebanyakannya membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju," katanya pada sidang media ketika meninjau operasi di Plaza Tol Jalan Duta, malam tadi.

Mustafa berkata, seramai 23 individu ditahan AADK selepas saringan air kencing mendapati positif dadah membabitkan 14 pemandu lori, lapan penunggang motosikal dan seorang kelindan lori.

Tangkapan dadah turut dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas 11 individu iaitu pemandu kereta (lapan), pemandu lori (dua) dan seorang pemandu pikap.

"Sebanyak 36 kenderaan diperiksa SPAD dengan dua kertas siasatan dibuka terhadap dua pemandu bas yang didapati memandu melebihi had laju manakala, JAS mengeluarkan 14 notis dan empat kompaun.

"Jabatan Imigresen pula membuat tangkapan ke atas 24 pendatang asing termasuk lima wanita dari India (10); Indondsia dan Bangladesh masing-masing lima orang; Myanmar (2); Thailand dan China masing-masing seorang," katanya.

Katanya, lima tangkapan turut dibuat menerusi Op Mabuk dan 18 lagi ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuh raya SPRINT dan NKVE.

Beliau berkata, operasi akan diteruskan dari masa ke semasa bagi mendisiplinkan pengguna jalan raya.

Sumber: BH Online