15 Minit Pikat Kim Swee


PEMAIN paling muda dalam skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Akhyar Rashid tidak mahu dirinya dibayangi dengan fenomena dicetuskan Muhammad Nazmi Faiz Mansor enam tahun lalu.

Pada usianya 18 tahun, pemain Kedah itu mendapat kepercayaan jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk bersama skuad selepas pengguguran lapan pemain kelmarin.

Sama seperti Nazmi yang dipanggil Kim Swee pada saat akhir bagi menggantikan Gary Steven Robbart akibat kecederaan, dia ketika itu baru berusia 17 tahun, tapi menjadi tonggak kejayaan merangkul emas Sukan SEA 2011 Jakarta.

Akhyar, adik kepada bekas pemain kebangsaan Rafdi berkata, dia tidak tertekan untuk beraksi dengan pemain lebih senior.

“Dalam setiap perlawanan memang ada tekanan, tapi sebagai pemain paling muda dalam pasukan, saya fikir ia tidak mengganggu permainan saya.

“Tiada apa yang saya ingin buktikan kerana hanya perlu mengikut arahan jurulatih, berikan aksi terbaik untuk membantu kemenangan pasukan

“Selepas bersama dengan pasukan ini pada kelayakan AFC (B-23) di Bangkok dan kemudian kem latihan pusat, saya lebih yakin dan bersedia untuk beraksi,” katanya.

Pemain sayap ini hanya mengambil masa 15 minit untuk memikat Kim Swee ketika beraksi sebagai pemain gantian dengan Kedah menentang Perak dalam aksi Liga Super untuk dipanggil menyertai skuad ke kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu.

Akhyar dipanggil pada saat akhir bagi menggantikan pemain yang tidak mendapat pelepasan dan kehadirannya bukan saja membantu pasukan mara ke pusingan akhir di China tahun depan malah kelincahannya mendapat perhatian media antarabangsa termasuk Fox Sport Asia apabila menyenaraikan namanya sebagai pemain Asia Tenggara yang boleh beraksi di Liga Jepun.

“Saya akan menggunakan setiap peluang yang diberikan jurulatih dan sedar kena berusaha lebih keras kerana mungkin pasukan lawan sudah boleh membaca kemampuan kita,” kata Akhyar.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam hari ini.

Sumber: MyMetro