16 Orang Termasuk Bayi 3 Bulan Sesat 5 Jam Di Atas Gunung


SEREMBAN - 16 orang termasuk kanak-kanak berusia empat tahun dan bayi tiga bulan, sesat kira-kira lima jam ketika menuruni Gunung Berembun di Jalan Pantai, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, mereka kemudian berjaya turun dengan sendiri dan tiba di kaki gunung pada jam 2.05 pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Idris, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 12.42 tengah malam.

Beliau berkata, pihaknya dengan bantuan Balai Bomba Pantai dan pasukan bomba sukarela Pantai bergegas ke lokasi bersama satu jentera dan 21 anggota.

"Mereka seramai 50 orang dari Kuala Lumpur mula mendaki dari Gunung Telapak Buruk iaitu bersebelahan Gunung Berembun kira-kira jam 11 pagi.

"Sebahagian besar mulai turun sejak petang, manakala 16 lagi iaitu empat lelaki dan selebihnya wanita hanya mula turun pada jam 9 malam," katanya.

Mohamad berkata, kira-kira jam 12.30 tengah malam, rakan yang lain menyedari mereka belum tiba dan memaklumkan kepada polis mengenai perkara itu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi mereka dimaklumkan semua mangsa hampir tiba di kaki gunung dengan dua wanita mengalami kekejangan pada kaki.

Sumber: BH Online