2 Tauke Pelaburan Emas Dipenjara, Denda RM1 Juta


KUALA LUMPUR – Dua bekas pengarah syarikat pelaburan emas masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 dan lapan bulan serta denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menerima deposit lebih RM400 juta tanpa lesen lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu terhadap How Soo Feng, 43, dan rakannya, Liew Choon Khee, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas kedua-dua sahabat itu.

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata, mahkamah mendapati sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan tidak menafikan mengenai penglibatan mereka dengan syarikat pelaburan emas yang disertai.

“Berikutan itu mahkamah mensabitkan kedua-dua tertuduh terhadap dua pertuduhan mengutip deposit secara tidak sah,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Soo Feng didakwa sebagai pengarah syarikat The Gold Label Sdn. Bhd. menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 22 April 2009 dan 6 Mei 2010.

Choon Khee pula didakwa atas dua pertuduhan membantu urusan melancarkan skim mengutip deposit melibatkan transaksi emas pada tarikh dan masa sama dengan Soo Feng.

Soo Feng dan Choon Khee didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah pejabat di bangunan Northpoint City di Bangsar.

Sumber: Kosmo