ALOR SETAR - Bagi memeriahkan dan menghidupkan "mood" Hari Kemerdekaan yang ke 60 di Kedah yang agak suram pada tahun ini, sebanyak 20 bot nelayan menghiaskan jentera mereka dengan kibaran Jalur Gemilang.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, Mohd Kamal Abidin, berkata, kesemua bot nelayan tersebut akan mengadakan perarakan menyusuri Sungai Muda sejauh 10 kilometer, hari ini.
Perarakan akan dimulakan dari pengkalan Pusat Pendaratan Ikan, Kampung Tepi Sungai sehingga Jambatan Kota Kuala Muda .
"Inisiatif itu diambil bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan nelayan dan orang awam sekali gus memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan yang akan disambut Khamis ini.
"Aktiviti ini dilakukan secara ikhlas kerana golongan nelayan mahu menunjukkan rasa bertuah berada di negara ini selain menikmati kehidupan aman makmur," katanya.
Malah, sebagai tanda syukur dan bangga, pihak mereka sanggup mengeluarkan wang poket sendiri untuk menghiaskan bot masing-masing dengan kibaran Jalur Gemilang.
"Sebuah bot dipasang lima Jalur Gemilang di sudut tertentu bagi memastikan bendera dapat berkibar dengan megah. Setiap nelayan membawa keluarga masing-masing untuk menunjukkan semangat kemerdekaan," katanya. - Kedahnews.com
