KUALA TERENGGANU – Seramai 20 pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembusu di Kuala Nerus bertindak seperti gengster apabila didakwa membelasah tiga rakan seasrama dalam dua insiden berasingan pada malam Isnin dan awal pagi kelmarin.
Dua daripada tiga mangsa buli berkenaan cedera teruk sehingga terpaksa menerima rawatan di Wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini akibat kecederaan dan lebam pada kepala, badan dan kaki.
Dalam insiden pertama pada pukul 10.30 malam Isnin lalu, Muhammad Luqman Hakim Mohd. Shukri, 17, dibelasah sekumpulan 15 pelajar di surau dan bilik asrama sehingga luka dan lebam teruk pada belakang badan.
Dia yang merupakan pelajar tahun dua jurusan Teknologi Elektronik mendakwa, kejadian mungkin berpunca daripada pertengkaran dan ejek-mengejek dengan salah seorang pelajar beberapa bulan lalu.
“Pelajar itu dengan rakan-rakan tiba-tiba memukul dan menendang saya di surau sebelum menyambungnya di bilik asrama,” ceritanya kepada pemberita.
Terdahulu dia dan dua mangsa buli lain diziarahi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Terengganu, A. Latiff Awang dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.
Sementara itu, Ahmad Zikrill A’zim Hasbullah dan Wan Ahmad Faris Wan Zakaria yang kedua-duanya berusia 16 tahun serta merupakan pelajar tahun pertama jurusan Teknologi Elektronik mendakwa menjadi mangsa buli senior dalam peristiwa kedua pada pukul 1.30 pagi kelmarin.
Ahmad Zikrill mendakwa, dia yang sedang tidur tiba-tiba diselubung dengan selimut sebelum dibelasah dan ditendang bertubi-tubi oleh sekumpulan senior.
“Tidak cukup dengan itu, saya diminta bergusti dengan rakan sebilik, Wan Ahmad Faris,” katanya lagi.
Ahmad Zikrill yang merupakan seorang atlet boling mendakwa kumpulan pelajar senior membulinya kerana dituduh sombong.
Sumber: Kosmo