49 Pati Ditahan Di Pusat Beli-Belah


KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Selangor hari ini menahan 49 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari pelbagai negara dalam operasi bersepadu di sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan, dekat sini.  

Pengarah Imigresen Selangor Omran Omar berkata, dalam operasi tiga jam bermula jam 3.30 petang itu, pihaknya memeriksa 150 warga asing serta 39 premis di dalam pusat beli-belah berkenaan sebelum menahan 28 lelaki dan 21 wanita antaranya warga Bangladesh, Indonesia dan Nepal.​​​​​

"Operasi ini diadakan bagi mengurangkan kebanjiran pendatang asing tanpa izin terutama sempena temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 tidak lama lagi," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berusia antara 17 dan 45 tahun itu melakukan kesalahan tidak mempunyai dokumen atau permit sah, melanggar syarat pas diberikan dan menetap melebihi masa tanpa kebenaran.

Katanya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Selangor dan disiasat mengikut Seksyen 61C dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63.

Operasi bersepadu itu disertai 61 pegawai Imigresen, 50 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dan lima anggota Jabatan Pendaftaran Negara. - Bernama