MAKKAH - Tujuh jemaah haji 'cedera' selepas tren Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro - Southern Line (MMMSL) dinaiki mereka, yang bergerak pada kelajuan 120 kilometer sejam, berhenti secara tiba-tiba akibat masalah teknikal baru-baru ini.
Insiden berlaku kira-kira jam 10.30 pagi (waktu tempatan) ketika tren berkenaan yang dalam perjalanan dari Stesen Arafah 3 ke Stesen Mudazalifah 1, di sini tiba-tiba mengalami gangguan bekalan kuasa, sekali gus menjejaskan operasinya.
Ia turut mencetuskan panik dalam kalangan jemaah haji lain, namun situasi cemas berkenaan berjaya dikendalikan kumpulan petugas Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku operator tren metro paling sibuk dan padat di dunia itu.
Tempoh 10 minit diambil petugas terbabit bersama pasukan keselamatan dan kecemasan Arab Saudi, termasuk unit paramedik yang dihantar ke lokasi kejadian menggunakan tren sokongan dari Depoh MMMSL, Al-Abdiya sebelum dikejarkan ke hospital melalui stesen berhampiran.
Malah, proses memindahkan penumpang juga berjaya dilakukan dalam tempoh singkat bertujuan mengelak sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan mereka.
Keadaan kembali meruncing apabila stesen pemindahan terbakar sebelum lapan jentera, masing-masing dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Makkah serta Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi dikejarkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden kebakaran itu, kecuali dua jemaah yang mengalami sesak nafas.
Ia sebahagian daripada situasi cemas dalam Simulasi Protokol Tindakan Kecemasan (ERP) dilaksanakan Prasarana, khusus bagi memperkukuhkan persediaan menghadapi kemuncak musim haji kali ini.
Pengarah Operasi MMMSL, Burhanordin Ismail, yang mengetuai eksais itu menjelaskan stimulasi berkenaan adalah yang ke-21 sejak persiapan musim haji tahun ini dilakukan pada Julai tahun lalu.
Beliau menjelaskan simulasi itu penting mengukur tahap kecekapan kumpulan petugas, termasuk pasukan penyelamat mengendalikan krisis, terutama pada waktu puncak, selain mengenalpasti kekangan berkaitan.
"Ini juga sebahahagian daripada prosedur ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi bagi membolehkan Sijil Keselamatan (SC) dikeluarkan bertujuan membenarkan tren beroperasi.
"Ia juga seiring dengan peningkatan jumlah penumpang bakal dibawa bagi musim haji kali ini yang mencecah 350,000 jemaah untuk berulang alik antara Arafah, Mudzalifah dan Mina," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas meninjau simulasi berkenaan di Stesen Mina 1, di sini yang turut membabitkan operasi bersepadu pasukan keselamatan dan kecemasan Arab Saudi.
Burhanordin berkata, tren berkenaan memiliki kapasiti penumpang lebih dari jumlah dinyatakan, namun terpaksa dihadkan atas faktor keselamatan dan keselesaan jemaah.
"Dalam mengendalikan situasi krisis, tempoh tindakan diambil amat penting, terutama keberadaan anggota penyelamat di lokasi kejadian.
"Ini bagi mengelak keadaan menjadi lebih rumit sehingga menjejaskan keseluruhan operasi tren," katanya sambil memaklumkan simulasi turut dipantau Lembaga Pembangunan Wilayah Makkah (MRDA) dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Awam Arab Saudi (PTA).
Sumber: BH Online