86 Peratus Rakyat Kedah Memerlukan BN - Kajian UiTM


SUNGAI PETANI - Kira-kira 86 peratus rakyat negeri Kedah masih memerlukan Barisan Nasional (BN) untuk menjaga kebajikan mereka sementara 76 peratus lagi mahu parti itu melaksanakan pembangunan setempat. 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  berkata, berdasarkan kajian ilmiah dan tinjuan yang dijalankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu jelas menunjukkan rakyat negeri ini masih memerlukan sebuah parti yang stabil, kuat serta mampu mentadbir negara.

"Kini segalanya terserah kepada kita dalam UMNO dan BN, sama ada mampu atau tidak untuk memenuhi kehendak rakyat itu,” Ahmad Zahid  semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Merbok, di Kelab Cinta Sayang di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan barisan kepemimpinan UMNO di semua peringkat supaya sentiasa menjaga rakyat dan ahli parti di peringkat akar umbi demi memastikan parti itu terus mendapat sokongan daripada semua pihak.

“Kita pegang jawatan UMNO ini perwakilan di bawah yang bagi. Ertinya apabila diberi jawatan, buatlah  kerja elok-elok dan jaga sesama sendiri, bukannya jaga diri sendiri," katanya.

Turut hadir pada perasminan itu  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain serta timbalannya, Prof. Dr. Ismail Daut. - Kedahnews.com