Abang Berhati Binatang, Perkosa Dan Pukul Adik Di Sungai Petani


DUA lelaki berusia 18 dan 20 tahun ditahan kelmarin selepas memperkosa dan memukul adiknya, 16, di kediaman mereka di Sungai Petani.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, kejadian itu berlaku selepas bapa mereka meninggal dunia Jun 2015 apabila suspek berusia 18 tahun merogol adiknya ketika mereka bersendirian di rumah.

Menurutnya, suspek juga mengugut akan mencederakan mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.

"Suspek berusia 20 tahun pula ditahan kerana sering memukul adiknya dan memaksa mangsa melakukan perbuatan mencuri sejak 2013.

“Ibu mereka yang menghidap kanser rahim ketika kejadian menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim menyebabkan suspek berani melakukan perbuatan itu," katanya.

Saifi berkata, kali terakhir mangsa dirogol pada 30 Julai lalu dan menceritakan kejadian itu kepada ibunya namun wanita itu tidak melaporkan kejadian itu kerana dia dalam keadaan tidak berdaya akibat penyakit dialami.

"Malah mangsa turut pernah dipukul dan diseret atas jalan tar menyebabkan kesan parut di badan sehingga kini.

“Dia yang tidak tahan diperlakukan kedua-dua abangnya kemudian tampil membuat laporan polis semalam sebelum mereka berdua kemudian ditahan," katanya.

Beliau berkata, suspek yang merogol adiknya direman bermula hari ini hingga 23 Ogos manakala suspek yang memukul adiknya direman sehingga 20 Ogos ini.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Sumber: MyMetro