Ahli PPBM Cuma 29,741 Orang?


'INDAH khabar dari rupa'. Peribahasa itu mungkin sesuai untuk menggambarkan kedudukan sebenar sokongan rakyat kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sebelum ini gah mendakwa memiliki keahlian yang ramai walaupun baharu ditubuhkan

Menurut sumber, ahli PPBM yang berdaftar sehingga kini cuma berjumlah 29,741 orang.

Maklumat terbaharu itu terdedah setelah tersebarnya perbualan aplikasi WhatsApp pemimpin tertinggi PPBM bergelar Datuk kepada ahli parti berkenaan.

Dalam perbualan itu, ahli parti pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu bertanya kepada Datuk berkenaan mengenai jumlah sebenar ahli parti itu sehingga hari ini.

Keseluruhan ahli PPBM setakat ini adalah berjumlah dalam lingkungan 29,000 sahaja, kata Datuk berkenaan.

“Sekarang sudah berapa ramai ahli semua sampai ke hari ini?,” soal ahli PPBM yang perbualan itu turut disiarkan MalaysiaGazette semalam.

Jawab Datuk berkenaan: “Terkini daripada Pusat, 29,741 selepas saringan ahli yang baru dibatalkan keahlian.”

“Ramai ke yang dah batal keahlian? soal beliau lagi.

“Itu saya tidak pasti, kalau boleh kita kerja keras sikit. PRU mungkin tahun ni saja,” tegas pemimpin PPBM itu menjelaskan situasi semasa.

PPBM mula ditubuhkan pada 7 September tahun lalu selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta pergantungan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal daripada UMNO pada 24 Jun 2016.

Tidak sampai setahun, parti itu dibadai kemelut apabila lebih 1,000 anggotanya di Perak bertindak keluar parti.

Ia diketuai Ketua Penaja Bahagian PPBM Ipoh Timur Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Penaja Bahagian PPBM Teluk Intan Jemaat Yaacob.

Tindakan itu susulan kegagalan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat pusat dan negeri walaupun tempoh seminggu diberikan kepada beliau.

Beberapa pemimpin  termasuk pengasas parti di Negeri Sembilan juga bertindak meninggalkan PPBM kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan dalam melantik ketua penyelaras bahagian dan negeri.

Sementara Exco Armada pula bertindak mempersoal kekayaan Dr. Mahathir dan anak-anaknya serta mahukan penjelasan daripada pucuk pimpinan PPBM. 

Kerjasama PPBM dengan DAP, PKR dan PAN hanya untuk menumpang pengaruh parti tersebut dalam menghadapi PRU14.

Sebelum ini, parti itu juga mendakwa berjaya mengutip lebih sejuta tanda tangan dalam gerakan Deklarasi Rakyat bagi menyingkirkan Perdana Menteri, tetapi sasarannya tidak sampai dan disifatkan sekadar gimik politik .- Kedahnews.com