Aidiladha: Bekalan Lembu, Kambing Mencukupi


PUTRAJAYA - "Bekalan lembu dan kambing yang diperlukan untuk perayaan Aidiladha minggu depan adalah mencukupi," kata Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau bagi bulan ini adalah 43,418 ekor terdiri daripada 23,700 ekor ternakan tempatan dan 19,718 ekor diimport.

Katanya bekalan kambing dan biri-biri bulan ini adalah 31,726 ekor terdiri daripada 20,200 ekor ternakan tempatan dan 11,526 ekor diimport.

“Keperluan bagi lembu, kerbau dan kambing, biri-biri untuk ibadah korban tahun ini adalah kira-kira 31,207 ekor dan 25,174 ekor.  Maka, tiada isu bekalan tidak mencukupi pada Aidiladha tahun ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Tajuddin, yang sebelum itu bertemu pengimport daging dari India, berkata sebanyak 28 rumah sembelih di seluruh Semenanjung akan beroperasi dengan 13 daripadanya telah memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan daripada Australia.

JPV juga mengeluarkan lesen kepada 60 rumah sembelih ruminan swasta di seluruh Semenanjung bagi penyembelihan ternakan korban, katanya.

“Penyembelihan yang dijalankan di luar rumah sembelih seperti di masjid, sekolah, taman perumahan, tempat awam dan lain-lain diberi kebenaran melalui permohonan permit penyembelihan luar yang boleh didapati di rumah-rumah sembelih JPV Negeri dan Daerah,” katanya.

Beliau berkata dokumen-dokumen wajib bagi semua ternakan penyembelihan korban perlu mempunyai Akuan Kebenaran Pindah Ternakan dan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV).

Tajuddin berkata bayaran RM35 seekor dikenakan untuk tujuan pemeriksaan bagi memastikan ternakan yang mahu dikorbankan bebas daripada sebarang penyakit dan selamat untuk pengguna. - Bernama