PEKERJA penyelenggaraan menara telekomunikasi meninggal dunia selepas tiba-tiba pengsan ketika menjalankan kerja di menara telekomunikasi di Kampung Lubuk Pait, Kuala Berang, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, Mohamad Zakery Zainul Abidin, 39, disahkan meninggal dunia selepas dibawa turun dari menara berkenaan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kira-kira 10 malam tadi.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan lelaki tidak sedarkan diri di menara terbabit pada 5.15 petang oleh orang awam.
"Difahamkan, mangsa yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu bersama dua rakannya menjalankan kerja penyelenggaraan kabel di menara terbabit.
"Pada awalnya mangsa dikatakan naik ke puncak platform pada ketinggian 76 meter sebelum tali pinggang keselamatannya terjatuh ke platform nombor dua.
"Lelaki berkenaan dikatakan turun ke platform nombor dua itu pada ketinggian 42 meter untuk mengambil tali pinggang berkenaan sebelum dia kelihatan lemah secara tiba-tiba," katanya.
Menurutnya, rakan mangsa yang berada di bawah kemudiannya bergegas memanjat ke platform nombor dua untuk membantu dan lihat mangsa sudah berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.
Katanya, rakan mangsa kemudiannya cuba memberi bantuan kecemasan sebelum mangsa tidak sedarkan diri lalu mereka memaklumkan kejadian berkenaan kepada pasukan penyelamat.
"Kerja menyelamat bermula kira-kira 9 malam oleh empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat Hulu Terengganu dibantu tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu.
"Operasi membawa turun mangsa dari menara terbabit selesai pada 10.07 malam dan mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Sumber: MyMetro