PARIT BUNTAR - Malang tidak berbau buat warga emas apabila dia terjatuh dan disahkan meninggal dunia di sisi isterinya selepas menuruni bas di Hentian Raya Parit Buntar di sini petang semalam.
Pada jam 3.30 petang, mangsa, Ahmad Fudzi Omar, 63, dari Titi Serong difahamkan terjatuh ketika berjalan beberapa langkah selepas menuruni bas ekspres yang dinaiki daripada Putrajaya sebelum disahkan meninggal dunia.
Adun Titi Serong, Abu Bakar Hussain berkata, mangsa yang merupakan aktivis Pas kawasan Parit Buntar sejak lebih 30 tahun lalu, difahamkan baru tiba dari Putrajaya selepas menziarahi rumah salah seorang anaknya bersama isteri.
Menurutnya, mangsa difahamkan pergi ke Putrajaya dengan menaiki perkhidmatan ETS, namun menaiki bas ekspres untuk pulang ke rumahnya di Kampung Titi Serong.
"Saya dimaklumkan mangsa tidak menunjukkan sebarang tingkah laku luar biasa sewaktu berada di dalam bas.
"Namun, apabila berjalan beberapa langkah selepas menuruni bas di Henti Raya Parit Buntar, mangsa tiba-tiba rebah sebelum tidak sedarkan diri di sisi isteri.
"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang hadir beberapa minit kemudian," katanya kepada media sewaktu ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar di sini semalam.
Sumber: Sinar Harian