Bangkok - Seorang aktivis pelajar dihukum penjara dua dan setengah tahun semalam kerana menyiarkan artikel BBC di Facebook yang dianggap menghina Raja Thailand.
Jatupat Boonpattaraksa individu pertama didakwa menghina raja selepas Raja Maha Vajiralongkorn secara rasmi menaiki takhta pada 1 Disember lalu.
Bekas pelajar undang-undang itu ditangkap pada 3 Disember lalu dan didakwa kerana menyiarkan profil Vajiralongkorn oleh BBC Thailand yang dianggap menghina pemerintah itu.
Dia juga didakwa melanggar undang-undang jenayah komputer dengan menyiarkan pautan laporan BBC itu yang kemudian dikongsi lebih 2,000 pengguna.
Mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap Jatupat selepas dia mengaku salah atas semua tuduhan berkenaan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun sebelum dikurangkan kepada dua tahun setengah.
“Jatupat mengaku salah kerana dia tahu tiada gunanya untuk melawan tuduhan berkenaan,” kata peguamnya, Kissandang Nutcharat.
Sumber: Metro