MEKAH - Agenda membaca al-Quran selama sejam adalah simbolik dalam membina masyarakat penyayang dan berbudi, di mana itu merupakan salah satu komponen dalam membina negara bangsa.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dengan pembacaan itu juga mampu menjadi ikatan dalam memastikan kelangsungan kemerdekaan negara untuk tahun mendatang.
"Dalam kita berhadapan dengan terlalu banyak aura negatif, terutamanya apabila kita mempunyai ruangan media sosial yang didambakan dengan perkara palsu atau tohmahan, kita harus kembali dengan al-Quran.
"Kita perlu mengembalikan umat Islam kepada prinsip al-Quran kerana dengan kitab suci itu ia sentiasa mengajak umat Islam kepada nilai penyayang, budi bahasa dan itulah yang perlu disemarakkan dalam masyarakat kita," katanya kepada wartawan Malaysia selepas melancarkan World dan Merdeka #QuranHour di ibu pejabat Tabung Haji bangunan Abraj Al-Janadriyah, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta beberapa Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji.
Tambahnya, siknifikan membaca al-Quran dengan hari kemerdekaan negara, bahawa rakyat hendaklah mensyukuri negara berada dalam keadaan aman.
"Tahun ini kita menyambut kemerdekaan negara yang ke-60, dan tentulah itu memberi gambaran bahawa kita rakyat Malaysia perlu kembali muhasabah diri.
Sumber: Utusan Online