Meskipun menerima pelbagai kritikan di media sosial gara-gara melakonkan watak mualaf namun pelakon Alvin Chong tidak mahu terlalu ambil pusing dengan perkara itu sebaliknya dia menerima dengan hati terbuka.
Memetik laporan Kosmo! pelakon yang mula popular menerusi drama Suri Hati Mr. Pilot ini berkata, sebagai pelakon sudah menjadi tanggungjawab untuk menjayakan sehabis baik apa saja watak termasuklah sekiranya diberikan watak sebagai lelaki mualaf.
Pun begitu, menyedari sensitiviti masyarakat, justeru Alvin tidak mengambil mudah mengenai cara lakonannya dengan merujuk kepada pengarah serta kenalan yang beragama Islam.
"Kritikan adalah satu perkara yang tidak boleh dielak terutama apabila bergelar artis. Saya banyak bertanya kepada pengarah dan tenaga produksi tentang cara menunaikan solat.
"Itu hanya lakonan dan sudah menjadi tugas saya sebagai pelakon untuk menjayakannya. Saya faham penonton mungkin akan mempertikaikan perkara tersebut tetapi segalanya dilakukan dengan teliti.
"Saya amat menitikberatkan soal teknik dan melakukannya dengan betul. Saya akan merujuk kepada tenaga produksi dan kenalan beragama Islam sebelum melakonkan sesuatu babak terutama melibatkan adegan solat," katanya yang menganut agama Kristian.
Tambahnya lagi, penerimaan keluarga juga positif dan mereka berfikiran terbuka apabila mengetahui dia kerap berlakon sebagai mualaf.
Dalam pada itu, Alvin berkata dia gembira kerana kehadirannya dalam industri hiburan Melayu semakin diterima dan mendapat sambutan baik daripada peminat. Perkara itu secara tidak langsung memberikan impak positif terhadap karier seninya yang bermula sejak empat tahun lalu.
Terbaru, dia melakonkan watak sebagai lelaki mualaf menerusi drama rantaian Awak Suka Saya Tak? yang akan ditayangkan oktober depan. Dalam drama arahan Raja Ahmad Alauddin itu, Alvin bergandingan dengan Emma Maembong.
Selain itu dia akan muncul menerusi filem berbahasa Mandarin berjudul Reunion Romance dan akan ditayangkan di China dan Hong Kong pada bulan Oktober depan. Disamping dia juga akan menghasilkan single kedua dalam bahasa Melayu selepas single Lagu Mu.
Sumber: MalaysianDigest