KOTA BHARU - Seorang wanita tidak menyangka dia yang dijadual bersalin lima hari lagi sudah bersalin jam 12.30 tengah malam tadi.
Kelahiran bayi lelaki seberat 4.25 kilogram yang dilahirkan oleh Colney Mojinal, 28, itu ialah yang pertama bersempena Hari Kebangsaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Colney yang berasal dari Kota Marudu, Sabah berkata, tanda-tanda untuk melahirkan anak ketiganya itu sudah muncul kelmarin sebelum dia segera ke hospital pagi semalam.
"Saya mula berasa sangat sakit pada jam 11 lebih malam tadi dan jam 12.30 tengah malam lahir bayi ini.
"Saya sangat gembira kerana bayi ini lahir pada tarikh Hari Kebangsaan," katanya ketika ditemui di HRPZ II, di sini hari ini.
Sambil berseloroh Colney berkata, mungkin bayinya itu ingin mengambil semangat bapanya, Berly Unji, 35, yang bertugas sebagai tentera di Kem 8 Briged, Pengkalan Chepa, di sini.
Terdahulu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah HRPZ II, Datuk Zaluzi Sulaiman, hadir melawat bayi yang dilahirkan pada Hari Kebangsaan di Wad 24.
Zaluzi berkata, kunjungan yang dibuat secara tahunan sejak tiga tahun lalu itu sebagai meraikan kedatangan generasi baharu yang dilahirkan sempena tarikh keramat, 31 Ogos.
Kunjungan itu turut disertai Pengarah HRPZ II, Dr Selasawati Ghazali termasuk Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Dr Syukri Ahmad.
Sehingga jam 9 pagi tadi, seramai 12 bayi dilahirkan iaitu sembilan bayi lelaki dan tiga perempuan.
Sumber: BH Online