Asid Perut Naik Semula Ke Esofagus


Ramai tidak menyedari, makanan pedas, berasid, berlemak dan berangin memberi kesan tidak baik dalam tubuh. Namun, sukar meninggalkannya disebabkan sudah menjadi budaya terutama dalam masyarakat Asia.

Memang enak makanan seperti itu, apatah lagi sememangnya selera Asia. Namun, tahukah anda makanan berkenaan boleh menyebabkan seseorang itu diserang simptom pedih hulu hati atau Gastro Esofagus Refluks Disease (GERD).

GERD adalah gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid dalam perut atau ada kala kandungan perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan antara mulut dan perut).

Perunding Perubatan dan Pakar Gastroenterologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Raja Affendi Raja Ali menjelaskan GERD akan beransur menjadi teruk jika tidak dirawat.

“Ia berpunca daripada struktur dalaman badan dan gaya hidup. Oleh itu pesakit perlu mengambil langkah proaktif bagi menanganinya dengan berkesan.

“Ia umpama luka yang boleh melarat dan membahayakan nyawa jika tidak diubati. Hakikatnya GERD menjejaskan kehidupan seperti keseronokan menikmati makanan, tidur yang cukup dan kepuasan bekerja,” katanya ketika ditemui pada pembentangan ‘Oh My GERD! Bebaskan Diri Daripada Belenggu GERD’ anjuran NuvaPineA di ibu negara baru-baru ini.

Apabila makan, makanan akan disalurkan dari mulut ke perut melalui tiub dipanggil esofagus. Pada penghujung esofagus iaitu sebelum bukaan perut, ada satu lingkaran otot dikenali sebagai sfinkter esofagus bawah (LES).

Sekiranya fungsi LES terjejas atau otot esofagus menjadi lemah, sfinkter (pencerut) tidak dapat tertutup dengan sempurna. Ini menyebabkan asid dan kandungan dalam perut naik semula (refluks) ke dalam esofagus.

Asid perut mempunyai pH yang hampir sama dengan asid bateri. Apabila asid perut terkena esofagus dan ada kalanya naik semula ke mulut, ia akan menghakis saluran ini dan menyebabkan kesakitan.

Pakar Gastroenterologi dan Doktor Neuropati dari Melbourne, Dr Vafif Soultanov berkata, kebanyakan orang tidak menyangka GERD akan membawa perubahan drastik dalam hidup mereka.

“Menurut data klinikal, GERD boleh menyebabkan kerisauan dan kemurungan begitu juga sebaliknya. GERD juga berupaya mengganggu produktiviti dan tidur seterusnya menjejaskan kehidupan harian,” katanya.

Tahap teruk GERD bergantung kepada kegagalan fungsi LES dan jenis serta jumlah cecair yang dirembes daripada perut dan kesannya boleh meneutralkan air liur. Gejala GERD seperti pedih ulu hati dan memuntahkan semula asid perut biasanya dirawat dengan pelbagai ubat bergantung kepada tahap keterukan yang dialami pesakit.

Kekerapan GERD didapati meningkat di Asia Tenggara sehingga 20 peratus berbanding data yang direkodkan selepas 2005. Kebanyakan orang yang mengalami GERD menganggap keadaan ini berpunca daripada tekanan atau makanan pedas dan berasid.

Menurut kajian, tekanan bukan punca sebenar GERD, namun ia antara faktor yang boleh memburukkan lagi penyakit itu. Saintis mendapati pengeluaran asid perut amat sensitif terhadap keadaan emosi kita.

Selain tekanan, obesiti juga antara faktor pencetus GERD. Berat badan yang terkumpul pada bahagian perut akan menekan diafragma dan LES hingga menyebabkan otot LES menjadi longgar.

Tidak memeranjatkan jika diberitahu bilangan orang yang menderita GERD kian meningkat di negara ini memandangkan Malaysia tersenarai sebagai negara yang mempunyai paling ramai penduduk gemuk di Asia.

Merokok turut menjadi faktor risiko GERD kerana nikotin berpotensi mengendurkan otot LES, seterusnya menolak asid perut naik semula ke dalam esofagus.

GERD bukan mudah ditangani. Selaku doktor naturopati dan penyelidik, Dr Soultanov berkongsi keputusan daripada kajian klinikal terbaru dijalankan ke atas ekstrak jejarum hijau konifer pain dikenali sebagai Bioeffective A serta kesannya terhadap kesihatan gastrousus dan GERD.

Menurutnya, terapi itu terbukti mempunyai ciri penyembuhan sel dan pengambilannya menunjukkan pengurangan gejala ketakcernaan 92 peratus serta gejala lain seperti gastritis, angin perut dan gangguan usus.

Pengetahuan yang digabungkan daripada perubahan moden dan ubat-ubatan naturopati kini mampu menawarkan pendekatan lebih holistik untuk membantu pesakit menangani masalah kesihatan mereka dengan lebih berkesan. Hadir sama Ahli Farmasi dan Penyokong Terapi Semula Jadi, Datin Swanee Teh.

Sumber: MyMetro