KUALA LUMPUR – Baru-baru ini, pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime, menulis kapsyen di laman Instagram miliknya yang seolah-olah memberi gambaran bahawa dia ingin berehat daripada kerja lakonan.
Ketika ditemui dalam majlis pra-tonton filem Pencuri Hati Mr. Cinderella kelmarin, Atikah, 26, berkata, dia membuat keputusan untuk berehat seketika kerana sudah enam bulan tidak menerima sebarang tawaran berlakon.
Pada masa yang sama, pelakon filem Volkswagen Kuning ini mengakui ketiadaan waktu untuk bersama-sama keluarga turut menjadi faktor yang menyebabkan dia nekad dengan keputusannya itu.
“Selama enam bulan saya tak dapat apa-apa tawaran sehingga terpaksa menggunakan duit simpanan untuk menampung perbelanjaan.
“Perkara ini membuatkan saya fobia untuk terus menetap di Kuala Lumpur sedangkan saya tidak memperoleh sebarang pendapatan.
“Selain itu, saya juga mahu meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga. Selama lima tahun berlakon, sukar bagi saya untuk mencuri waktu dengan mereka.
“Selama itu juga saya tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya dan juga terlepas peluang untuk meraikan majlis ulang tahun kelahiran ibu dan anak saudara saya.
“Hal-hal begini membuatkan saya sangat merindui kehidupan saya yang dahulu sebelum bergelar pelakon. Pun begitu saya pasti akan kembali berlakon cuma belum menetapkan berapa lama tempoh untuk saya berehat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Atikah menyatakan dia kini bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai pegawai pemasaran.
“Disebabkan wang simpanan saya semakin berkurangan, saya nekad untuk kembali ke Singapura dan bekerja di sana.
“Saya bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat yang memasarkan produk farmasi sejak awal Julai lalu,” jelasnya.
Sumber: Utusan Online