KUALA LUMPUR - Pengurus skuad berbasikal negara, Omar Saad mengingatkan anak buahnya agar sentiasa berwaspada dengan kawasan persekitaran Velodrom Nasional Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan.
"Hari ini saya menghadiri mesyuarat berkaitan penganjuran Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2018 namun saya turut dimaklumkan dengan kadar pembiakan nyamuk aedes yang agak membimbangkan.
"Saya diberitahu kadar pembiakan nyamuk adalah 54 peratus di kawasan luar persekitaran velodrom menerusi ujian yang dijalankan oleh doktor dari Hospital Tunku Ja'afar di Seremban.
"Tetapi kawasan dalam velodrom adalah rendah iaitu empat peratus," katanya yang juga Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Jelasnya, ia agak membimbangkan kerana atlet negara sedang giat menjalani latihan persiapan di velodorom untuk menghadapi Sukan SEA yang semakin hampir.
"Saya akan memaklumkan kepada atlet secepat mungkin tentang perkara ini. Kita tidak mahu perkara yang tidak diingini berlaku membabitkan aspek kesihatan dan sebagainya ketika temasya semakin hampir.
"Saya akan mengarahkan mereka agar lebih berhati-hati serta menggunakan krim dan sebagainya. Manakala doktor yang sama memaklumkan pihaknya akan mengambil langkah pencegahan seperti aspek kebersihan dan melakukan pengasapan (fogging)," tambahnya.
Velodrom Nasional Malaysia yang terletak di Nilai dibina dengan kos RM80 juta dirasmikan pada lalu Mei lalu yang bakal menjadi gelanggang bagi acara trek dan BMX pada Sukan SEA.
Jaguh keirin dunia, Azizulhasni Awang akan mengetuai barisan pelumba trek negara menuai emas di velodrom tertutup itu.
Sumber: BH Online