Azizul Calon Hangat Pembawa Jalur Gemilang


KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui sudah mengetahui senarai pendek tiga calon terakhir pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara ketika upacara pembukaan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

Begitupun ketika diminta mengulas lanjut termasuk mendedahkan tiga nama yang akan memikul tanggungjawab penting itu pada majlis 19 Ogos ini, Khairy enggan berbuat demikian dengan alasan belum tiba masanya.

“Tiga nama pilihan terakhir kontinjen Malaysia terdiri daripada atlet Malaysia. Cubaan yang baik,” katanya dalam nada berseloroh ketika menjawab soalan wartawan mengenai teka-teki yang ketika ini hangat dibincangkan peminat sukan tempatan.

Sebelum ini, Chef de Mission Datuk Marina Chin berkata, teka-teki mengenai segala persoalan termasuk pembawa Jalur Gemilang akan diketahui pada 10 Ogos ini.

Antara nama yang dijangka berpeluang cerah menggalas tanggungjawab itu empat juara dunia iaitu jaguh berbasikal, Azizulhasni Awang, atlet terjun, Cheong Jun Hoong serta dua atlet para yang bertanding dengan atlet normal iaitu Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh).

Azizul yang pernah diberikan tugas membawa Jalur Gemilang kontinjen negara pada upacara pembukaan Olimpik Beijing pada 2008 dikatakan calon utama.

Begitupun, dipercayai, wujud pihak yang mahukan Khairy yang turut beraksi di temasya dwitahunan itu dalam acara polo diberi tanggungjawab berkenaan sekali pun beliau sudah menafikannya sebelum ini.

Majlis penyerahan Jalur Gemilang akan diadakan pada 10 Ogos sempena majlis penutupan kem latihan pusat kontinjen negara yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pada temasya 2015 di Singapura, penerjun wanita negara, Leong Mun Yee dipilih memikul tanggungjawab itu.

Sumber: MyMetro