Badan Dunia Perlu Campur Tangan Hapuskan Kekejaman Etnik Rohingya


ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak campur tangan dari badan dunia bagi menghapuskan kekejaman dan pembunuhan terhadap etnik Rohingya oleh kerajaan Myanmar.

Naib Presidennya Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mainkan peranan melindungi dan memberi "kehidupan" yang lebih terjamin kepada etnik Rohingya yang sering ditindas tersebut.

"Dalam masa dua hari ini, puluhan rumah di lebih 25 kampung telah dibakar, manakala puluhan ribu penduduk telah melarikan diri di perbatasan Myanmar dan Bangladesh untuk mencari perlindungan tanpa makanan. Anda boleh bayangkan mereka dalam keadaan lapar dan kanak-kanak ramai dijangkiti penyakit berjangkit," katanya.

Menurutnya, jika badan dunia terus membisukan diri maka besar kemungkinan etnik Rohingya akan terus lenyap dari dunia.

"Tidak ada jalan lain selain kita mendesak negara anggota ASEAN memberi respons segera sama ada bertindak untuk menghentikan kekejaman atau membiarkan saja mereka dibunuh, jika itu berlaku, kita boleh menganggap ASEAN tidak berfungsi lagi untuk melindungi rakyat negara anggotanya," katanya.

Selain itu, beliau turut menggesa pasukan pengaman PBB segera menghantar pasukan pengaman ke wilayah-wilayah bergolak bagi melindungi masyarakat etnik Rohingya yang kini dinafikan hak kewarganegaraan mereka.

Hingga kini, dianggarkan lebih 100,000 penduduk etnik Rohingya dibunuh semenjak krisis berlarutan sejak 1978.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Rohingya Malaysia Kedah Yusof Ali berkata, gunakan  video dan gambar sebagai bukti kepada jenayah kemanusiaan di mata ASEAN atau PBB serta teruskan usaha menghentikan kezaliman dan kekejaman kerajaan Myanmar terhadap etnik berkenaan.

"Kerajaan Myanmar bijak menipu PBB apabila lawatan diadakan di negara itu dengan memindahkan penduduk sebenar Rohingya ke kawasan hutan, padang dan tepi laut dan menempatkan mereka yang beragama Hindu dan Buddha di kampung itu...ini memberi reaksi bahawa tiada kezaliman berlaku dan mereka akan terus membantai penduduk di situ," katanya. - Kedahnews.com