KUALA LUMPUR - Skuad badminton wanita negara selangkah lagi untuk menamatkan kemarau lapan tahun emas selepas mudah menundukkan pemenang 13 kali Indonesia 3-0 dalam aksi separuh akhir acara berpasukan wanita di Arena Axiata, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia kini berpeluang membalas dendam ke atas Thailand selepas pasukan juara bertahan itu turut menempah tiket ke final hasil kejayaan membenam Singapura 3-0.
Pada temasya dua tahun lalu di Singapura, Malaysia sekadar berpuas hati dengan pingat perak selepas kalah di tangan Thailand pada aksi final.
Menariknya, Malaysia dan Thailand hadir ke pentas final kali ini dengan rekod yang seimbang dengan masing-masing sudah mengumpul empat emas.
Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir muncul pemenang emas di Laos 2009.
Terdahulu, perseorangan utama negara, Soniia Cheah memastikan Malaysia meraih mata pertama apabila mengatasi Fitriani 21-17, 21-17.
Beregu, Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula tidak perlu bermandi peluh selepas Ni Ketut Mahadewi-Rosyita Eka Putri menarik diri ketika pasangan Malaysia itu mendahului set pertama 7-5 kerana cedera.
Goh Jin Wei kemudian melengkapkan kemenangan apabila tidak berdepan masalah menewaskan Hanna Ramadini 21-16, 21-13.
Sumber: BH Online