Baiki Rumah Guna Barang Terbuang Kerana Kesempitan Wang


RANTAU PANJANG - Sebuah keluarga terpaksa membaiki rumahnya yang musnah dalam kebakaran menggunakan barangan yang diambil di tapak pelupusan dekat sini, kerana masalah kewangan.

Dalam kejadian pada 26 Mei lalu, hanya bahagian dapur rumah yang didiami Jizah Ismail, 60, sekeluarga tidak terbakar.

Jizah Ismail, 60, berkata, dia kagum dengan semangat anak lelakinya, Hasrul Razali, 23, membaik pulih rumah walaupun terpaksa menggunakan sumber dari tempat pelupusan sampah.

Menurutnya, tanpa menghiraukan rasa malu, anak keempat dari lima beradik itu membawa pulang kain perca, kayu dan plastik untuk membuat tabir dinding.

"Zink yang digunakan ini diberikan jiran yang simpati dengan nasib kami.

"Selain itu, semua kelengkapan rumah seperti dapur, periuk, cerek dan peralatan rumah yang lain turut diambil dari tempat pelupusan itu," katanya.

Jizah berkata, selepas kebakaran itu, mereka sekeluarga tinggal di bahagian dapur.

“Hanya dapur terselamat, di sinilah kami tidur, makan, berehat dan beriadah. Tapi saya risau juga kerana dinding dapur tak kukuh.

“Disebabkan ruang yang terhad dan struktur tak selamat, suami dan cucu saya terpaksa tinggal di rumah anak-anak yang lain,” katanya.

Dia berkata, suaminya, Razali Yusof, 75, lumpuh sebelah kiri sejak empat tahun lalu, tinggal bersama anak di Gemang, Jeli manakala cucunya yang berusia 10 tahun ke Tumpat.

Menurutnya, kesulitan hidup memaksa mereka tinggal di tapak kebakaran tersebut kerana tidak mampu mendiami rumah sewa yang agak mahal.

Katanya, dia sangat mengharapkan bantuan rumah memandangkan rumah yang diduduki ini berisiko runtuh.

Sumber: Sinar Harian