Bantah Cadangan Jual Semula Rokok Pek 'Kiddie'


KUALA LUMPUR - Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menolak cadangan memperkenalkan semula bungkusan rokok pek 'kiddie', iaitu pek rokok 10 batang.

Cadangan itu dibangkitkan beberapa persatuan peniaga serta pelobi industri tembakau baru-baru ini, dengan alasan ia mampu mengekang kegiatan rokok seludup yang menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai berbilion ringgit.

Presiden MCTC, Dr Molly Cheah, berkata sebarang percubaan oleh mana-mana pihak untuk memperkenalkan semula pek kiddie itu bertentangan Dasar Kebangsaan Kawalan Tembakau.

Katanya, pengenalan pek itu juga tidak membantu sasaran negara Malaysia untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan rakyat negara ini kepada 15 peratus pada 2025 dan bawah lima peratus menjelang 2045 berdasarkan Pelan Strategik Kebangsaan Mengenai Kawalan Tembakau.

"Alasan memperkenalkan semula pek kiddie, iaitu kononnya pek rokok 20 batang menggalakkan orang ramai merokok serta peningkatan harga runcit tidak menunjukkan penurunan ketara jumlah perokok, adalah tidak benar dan tidak berasas.

"Dasar larangan jualan rokok batang individu dan pek kecil dilaksanakan bagi menghalang golongan muda dan miskin daripada mudah membeli rokok, selain tidak mahu menggalakkan perokok baharu mencubanya.

"Fakta bahawa tiada peningkatan ketara dalam tabiat merokok di Malaysia adalah bukti dasar berkenaan berkesan, selaras hasil penyelidikan dan cadangan antarabangsa melalui  Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC)," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Bungkusan rokok 14 batang ke bawah diharamkan mengikut Seksyen 16 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 berdasarkan peruntukan FCTC, pada Jun 2006.

Mereka yang tidak mematuhi larangan itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, manakala peniaga yang menjual rokok sebatang pula, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Cheah berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berfungsi untuk membasmi rokok seludup, dan menjadi tanggungjawab semua pihak melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa.

"Sebagai pertubuhan pedagang, peranan mereka adalah menggalakkan amalan menghormati kedaulatan undang-undang serta menjalankan perniagaan berserta tanggungjawab sosial.

"MCTC mengsyorkan pelaksanaan protokol menghapus perdagangan produk tembakau haram dan undang-undang kawalan tembakau yang komprehensif, menjatuhkan penalti berat kepada penyeludup produk tembakau serta melarang premis makanan menjual hasil tembakau sebagai langkah membasmi kegiatan perdagangan hasil tembakau haram," katanya.

Sumber: BH Online