GEORGETOWN - Satu perlawanan amal bola sepak akan diadakan pada 10 September ini di Stadium Mini Bertam Kepala Batas untuk meringankan beban tiga keluarga bekas pemain yang pernah menyarung jersi Pulau Pinang.
Ahli jawatankuasa penganjur, Abdul Halim Mohd Yosop berkata, ketiga-tiga pemain itu, Sofyan Ismail, Shukor Mohamad dan Mohamad Azlan Abdullah sudah meninggal dunia, namun sumbangan mereka kepada pasukan negeri tidak pernah padam terutama dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang.
Menurutnya, perlawanan amal antara Pilihan Kelab Futsal Jalan Mengkuang menentang Pilihan Bekas Pemain Pulau Pinang itu turut mendapat sokongan beberapa pemain Pulau Pinang yang sedia untuk membuat penampilan antaranya Faiz Subri; Failee Ghazli; Rafiuddin Rodin; Azrul Ahmad; bekas pemain import, Reinoldo Lobo dan Ismail Ariffin (Lepat).
“Tujuan utama perlawanan ini diadakan untuk memperingati jasa dan keringat pemain Pulau Pinang yang telah pergi meninggalkan kita buat selamanya.
"Tabung sumbangan juga akan disediakan dan orang ramai yang mahu membantu keluarga ketiga-tiga pemain ini boleh menyalurkan sumbangan terus di padang pada hari perlawanan,” katanya.
Abdul Halim berkata, tiga bekas pemain itu telah menyumbang jasa kepada pasukan negeri sejak di peringkat pembangunan bola sepak lagi.
Tambahnya, Syarikat Insurans DFZ Agency Sdn Bhd dan EWS Sdn Bhd juga bersetuju untuk jadi penaja utama dengan dibantu tujuh penaja bersama yang lain.
“Kami turut berbesar hati apabila bekas Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff; Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Adun Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dijangka hadir untuk beri sokongan,” katanya.
Sumber: Sinar Online