TAMBUN – Seorang bayi lelaki berusia 19 bulan meraung selepas lebih 20 minit terperangkap dalam bilik di rumahnya di Lembah Permai Lake View, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, abang mangsa yang berusia tiga tahun dikatakan telah tertekan tombol pintu secara tak sengaja ketika adiknya itu bermain di dalam bilik sehingga ibu mereka yang berada di dapur panik.
Difahamkan, pelbagai usaha dilakukan ibu mangsa untuk membuka pintu berkenaan termasuk mencari kunci pendua, namun gagal menyebabkan khidmat anggota bomba dipanggil.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Fauzi Abd Aziz berkata, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.44 malam.
“Setibanya di lokasi kejadian mendapati bayi berkenaan masih terperangkap dalam keadaan menangis. Anggota bertindak membuka pintu bilik guna peralatan khas.
“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan bayi itu kemudian diserahkan semula kepada ibunya,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, operasi tamat kira-kira jam 10.06 malam.
Sumber: Sinar Online