KUALA LUMPUR - Bekas suami Joy Revfa, Datuk Ray Imran, meluahkan rasa sedih apabila rumah tangga yang baru dibina wanita itu bersama penyanyi, Hafiz Hamidun, dilanda badai.
Ray berkata, beliau seperti dapat mengagak punca perkahwinan bekas isterinya itu retak, malah teringin menasihati wanita itu sebelum membuat keputusan berkahwin, namun menganggap dirinya tidak layak berbuat demikian.
"Jujurnya saya sedih dengan apa yang berlaku. Saya mahu menasihatkan dirinya sebelum mereka kahwin, tetapi siapalah saya? Nampak seperti saya cemburukan dirinya pula.
"Sekarang, apa yang saya khuatir sebelum ini benar-benar terjadi," katanya kepada BH Online, semalam.
Ray bagaimanapun menyifatkan, pergolakan rumah tangga pasangan berkenaan mungkin disebabkan perkenalan mereka yang singkat.
"Mungkin masing-masing ada kesilapan sendiri. Ditambah pula dengan perkenalan yang singkat, jadi mereka mungkin belum mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam," katanya.
Sejak akhir-akhir ini rumah tangga Joy dan Hafiz dikatakan dilanda badai apabila wanita itu kerap memuat naik status berunsur kesedihan.
Usahawan kosmetik itu seolah-oleh memberi bayangan mengenai pergolakan dalam rumah tangganya menerusi muat naik video lagu Despacito yang dinyanyikan semula oleh beberapa penyanyi wanita dalam bahasa Melayu.
Antara lain, lirik lagu itu berbunyi: "Ku keliru, jujur aku katakan aku keliru, sejak pertama kali kita bertemu, ku fikir ku tahu apa yang ku mahu."
Video berkenaan diiringi dengan status berbaur sedih, 'Seharusnya...lebih baik bersabar dari terburu-buru dan terus keliru..'
Kemudian Joy turut memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Heliza Helmi yang menyifatkan penyanyi dan pelakon itu antara sahabat yang sentiasa menjadi penyejuk hatinya ketika berduka.
Joy yang dihubungi BH Online, baru-baru ini memberitahu, kesibukan kerja membuatkan hubungannya dengan Hafiz sedikit renggang.
"Ramai yang sudah tanya (berkenaan masalah rumah tangga). Kalau nak cakap mengenai bahagia, semua orang inginkan kebahagiaan. Cuma kerjaya masing-masing membuatkan kami terlalu sibuk. Saya mahukan keluarga bahagia, tetapi apakan daya," ujarnya.
Joy dan Hafiz diijabkabulkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 1 Mei lalu.
Sumber: BH Online