Belia Paling Ramai Terlibat Daesh


KUALA LUMPUR - Golongan belia di negara ini adalah kelompok paling ramai menyertai kumpulan pengganas Daesh, yang telah mewujudkan beberapa serangan sehingga menjejaskan keselamatan orang awam.

Pegawai Bahagian Anti Keganasan (Risikan, Operasi) Cawangan Khas Bukit Aman, Asisten Komisioner Azman Omar berkata, berdasarkan statistik terkini, tangkapan sejak operasi terhadap kumpulan Daesh dilancarkan pada 2013 lalu, seramai 315 individu telah ditahan di seluruh negara.

“Daripada tangkapan itu, seramai 240 individu yang ditahan adalah golongan belia dan jumlah tersebut agak besar memandangkan peratusannya sebanyak 76 peratus,” katanya ketika Program Breakfast Talk Integriti di Institut Integriti Malaysia, semalam.

Selain itu, Azman berkata, dari segi pekerjaan pula, 11 peratus individu yang ditangkap adalah kakitangan kerajaan, lima peratus dalam kalangan pelajar dan 64 peratus lagi adalah pihak yang menjalankan pekerjaan lain, dan tidak bekerja.

Menurutnya, pihaknya tidak hanya menyasarkan individu luar kerana terdapat juga kakitangan kerajaan yang ditahan, ekoran terlibat dalam mempromosikan kumpulan pengganas Daesh.

“Individu yang ditahan kebanyakannya telah terpengaruh dengan helah kumpulan pengganas ini yang menggunakan nama Islam untuk mencari ahli,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kumpulan pengganas Daesh juga turut mengguna pakai konsep yang sama seperti kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) bagi merekrut ahli baharu.

Menurutnya, kebanyakan ahli rekrut baharu kumpulan Daesh telah diperdaya, di mana mereka dapat masuk ke syurga dengan mudah sekiranya turut sama dalam perjuangan bagi membunuh orang kafir.

“Ilmu agama mereka ini dikategorikan berada di tahap pertengahan, dan oleh kerana mereka nak kembali semula ke jalan ALLAH, mereka telah berjumpa dengan orang yang salah dan ekstrem seperti Abu Bakar Ba’asyir.

“Cara yang diguna pakai Daesh ini juga sama seperti JI iaitu perjuangan mereka ialah bagi menghapus dosa lalu dan langkah mudah untuk masuk ke syurga,” katanya.

Menjelaskan mengenai kaedah diguna pakai oleh bahagian  anti keganasan  bagi mengesan suspek terlibat dalam kumpulan berkenaan, Azman berkata, pihaknya menjalankan risikan dengan terperinci sebelum sesuatu tindakan diambil.

Katanya, pihaknya tidak bertindak secara sesuka hati, malah maklumat risikan juga turut diterima dari negara-negara luar bagi memudahkan proses pemantauan.

“Penahanan suspek terlibat adalah berdasarkan maklumat risikan dan selepas kita menjalankan pemantauan, tindakan penahanan akan diambil ke atas pihak terlibat.

“Selain itu, kita juga bertindak atas maklumat lain yang mengaitkan penglibatan mereka dengan kumpulan pengganas ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian