Bendera Terbalik : Buku Panduan KL2017 Dicetak Baharu


MENTERI Belia dan Sukan mengarahkan supaya pengedaran semua buku panduan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dihentikan.

Khairy Jamaluddin berkata, cetakan baharu dilakukan untuk perbetulkan kesilapan sebelum ini.

“Kita akan hantar buku-buku itu kepada tetamu kehormat dari semalam terutama wakil kerajaan Asean dan sebagainya bagi menggantikan buku yang mengandungi kesilapan tersebut.

“Menteri Luar Indonesia telah pun berhubung dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan saya menerima panggilan daripada beliau (Anifah) tadi dan memaklumkan bahawa satu permohonan maaf rasmi akan dikeluarkan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar kepada Kementerian Luar Indonesia,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, permohonan maaf secara rasmi termasuk daripada beliau secara lisan dan bertulis dibuat bagi menzahirkan kekesalan Malaysia sebagi tuan rumah terhadap apa yang berlaku.

Katanya, beliau berharap atas semangat setia kawan dan serumpun, permohonan maaf dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Indonesia dan rakyatnya.

“Diharap kita dapat terus membina hubungan baik antara kedua-dua negara. Ini adalah tanggungjawab kita bagi memastikan bahawa sepanjang Sukan Sea ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim selain meraikan persahabatan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrawi menyambut baik permohonan maaf yang dibuat kerajaan Malaysia.

“Kita harap perkara ini  tidak berulang kerana bendera adalah simbol masing-masing negara dan harus dihormati. Sukan Sea adalah penghormatan untuk kita junjung bersama.

“Menteri luar kami juga telah berkomunikasi dengan Menteri Luar Malaysia,” katanya.

Beliau bagaimanapun memahami perkara yang terjadi itu dan diharap ia tidak mengubah pertalian persaudaraan antara Indonesia dan Malaysia.

Dalam buku panduan KL2017, bendera Indonesia dicetak terbalik.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Penganjur Malaysia Sukan Sea 017 (MASOC) dalam kenyataan awal pagi ini, memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan tidak disengajakan itu.

Sumber: Sinar Online