Barangkali hati kecil Nadzmi Adhwa ketika ini terisi pelbagai rasa dan warna. Segala yang diimpikan menjadi kenyataan dan laluannya sebagai anak seni dipermudahkan tanpa perlu menjaja kisah sensasi.
Biarpun masih ‘hijau’, kredibilitinya sebagai pelakon diperakui ramai, sekali gus melayakkannya meraih populariti dalam masa singkat.
Dua tahun mencipta nama, Adhwa sebenarnya masih menagih ruang untuk terus memperbaiki diri. Baginya, laluan mudah yang terbentang depan mata tidak boleh dianggap sebagai satu kejayaan.
“Saya tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan ini. Walaupun tawaran berlakon dan mengacara semakin banyak, saya sedar perjalanan masih jauh. Masih banyak perkara perlu saya pelajari daripada mereka yang lebih berpengalaman.
“Bagaimanapun, saya bersyukur segala yang diimpikan dalam hidup menjadi kenyataan. Ibarat mimpi saya boleh sampai ke tahap ini. Mungkin inilah yang dinamakan rezeki,” katanya.
Makan hati
Meskipun pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Hati Perempuan ini mengelak dikaitkan kontroversi, ada saja netizen yang gatal tangan mengada-adakan cerita mengenai dirinya.
Terbaharu timbul dakwaan mengatakan berat badan Adhwa susut berikutan kecewa putus cinta tahun lalu.
Adhwa mengakui perpisahan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya, tetapi sebab utama penyusutan berat badan sebanyak 16 kilogram (kg) itu adalah demi memenuhi tuntutan wataknya dalam filem Safari Mall yang akan menemui pentonton tahun depan.
“Selepas berpisah pada Oktober tahun lalu, saya semakin fokus bekerja dan menjaga penampilan. Kebetulan pihak produksi Safari Mall minta saya kuruskan badan dengan berdiet.
“Jadi, dengan ujian yang berlaku dan kurang makan membuatkan berat badan saya turun dengan cepat. Lagipun, boleh dikatakan setiap hari saya makan sekali saja kerana sibuk dengan komitmen di set penggambaran,” katanya.
Selepas berpisah dengan wanita yang dikenali hampir enam tahun itu, Adhwa menegaskan dia belum bersedia mencari pengganti.
“Saya tiada masa untuk fikir soal cinta. Fokus saya kini hanya pada kerja selain mahu kumpul aset dan bantu keluarga.
“Biarlah saya kejar impian ini dulu. Lagipun, kerjaya seni adalah impian saya sejak kecil. Saya tidak mahu musnahkan impian ini begitu saja,” katanya.
Hala tuju
Berlakon dan mengacara sudah, kini pemilik nama sebenar Nadzmi Adhwa Nor Adzmi mengembangkan bakatnya sebagai penyanyi pula.
Single pertamanya, Kamulah Wanita sudah diperdengarkan dan terbaharu dia akan muncul dengan single berjudul Mungkir Janji.
“Jika tiada aral melintang, Mungkir Janji akan dilancarkan tahun ini. Walaupun aktif menyanyi, saya tidak akan tinggalkan lakonan.
“Saya cuba teroka bidang baru dan begitu juga dengan program Jalan Jalan Makan Angin yang kini bersiaran di TV3,” katanya.
Kata Nadzmi, keputusannya menjadi penyanyi kerana ingin mengembangkan cabang seni.
“Lakonan masih menjadi keutamaan meskipun sudah bergelar penyanyi.
“Saya juga gembira terus mendapat kepercayaan tampil sebagai pengacara,” katanya.
Sumber: MyMetro