Berjaya Dalam Kerjaya Tuntut Perubahan


Pekerjaan sebagai ibadah. Mukmin berjaya perlu sedia lakukan transformasi dan keluar dari zon selesa. Orang yang menentang perubahan akan selamanya berada pada takuk sama. Ikuti perbincangan seterusnya bersama Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam slot Islam Itu Indah di IKIMfm.

Kejayaan, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup adalah sejauh mana kita membawa hati kepada Allah SWT. Justeru, kebahagiaan ada kaitan dengan bagaimana kita mengurus pekerjaan kerana ia adalah perkara mulia, dipandang tinggi dan Islam meletakkan pekerjaan sebagai ibadah.

Allah SWT menyebut dalam al-Quran mengenai pekerjaan sebagai satu amanah yang jika disempurnakan dengan betul, boleh menjadi asbab untuk membawa Mukmin menghuni syurga Allah SWT.

Melalui rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, berkata pekerjaan antara jalan untuk meraih kebahagiaan hidup. Pekerjaan membolehkan seseorang Mukmin membina kematangan, kecemerlangan, bahkan pengalaman hidup.

Kajian moden menunjukkan orang tidak bahagia dalam pekerjaan, tidak akan bahagia dalam hidupnya kerana sebahagian besar kualiti masa dihabiskan di tempat dan alam pekerjaan.

Begitulah mereka yang mahu mencapai kejayaan atau meraih kecemerlangan, perlu melakukan transformasi dalam hidupnya. Demi mencapai kejayaan, mesti berubah dari zon yang selesa kepada satu zon yang lebih mencabar.

Lingkungan mencabar inilah akan mengajar manusia untuk lebih mengenali perkara yang akhirnya dapat menghasilkan buah-buah kejayaan dan membina nilai dalam kehidupan.

Bagaimanapun, tidak dapat tidak seseorang yang mahu berjaya perlu melalui proses penghijrahan kerana perkembangan diri terletak pada zon yang mencabar, bukan zon selesa atau statik yang tidak akan memberi apa-apa impak.

Justeru, dalam prinsip kejayaan ada aturan yang perlu dituruti kerana aturan itulah yang akan menyumbang kepada kejayaan. Perubahan adalah aturan yang jika tidak dipatuhi, seseorang itu tidak akan berjaya.

Pantas, bijak sesuaikan diri dengan perubahan

Perkara paling bijak adalah belajar menyesuaikan diri dengan norma atau pergerakan dalam kehidupan yang ada susunan dan aturannya. Orang yang mahu berjaya mestilah pantas, bijak dan cergas menyesuaikan diri dengan perubahan selagi tidak melanggar hukum syarak dan panduan hidup yang ditetapkan Allah SWT.

Orang yang menentang perubahan atau tidak pandai menyesuaikan diri dengan keadaan akan kalah. Makhluk sifatnya berubah, manusia jika tidak mengikut perubahan zaman akan ketinggalan. Ramai manusia yang gagal kerana enggan bergerak atau berubah.

Sebagai iktibar, mari kita renungi kisah budak lelaki yang hilang wang pada waktu malam. Budak itu mencari wangnya di tempat yang cerah, sedangkan ia tercicir di kawasan gelap.

Lalu seorang lelaki tua bertanya kepada budak lelaki itu, "Kenapa mencari wang yang hilang itu di tempat cerah di bawah cahaya, sedangkan wang itu bukan tercicir di sini?"

Perubahan rukun berjaya

Ramai daripada kita seperti budak lelaki itu. Kita sedar kejayaan atau kecemerlangan berada di rumah Allah SWT, iaitu masjid, tetapi kita tetap berkeras tidak melakukan solat di masjid. Kita sedar bangkit awal pagi boleh mendatangkan rezeki, tetapi kita tetap tidak melakukannya.

Sesungguhnya perubahan adalah rukun untuk berjaya. Namun, jika kita tidak mahu mengambil cabaran untuk melakukan perubahan yang sesuai dengan kehendak semasa atau kejayaan, maka jadilah kita orang yang terus lesu dan lapuk dengan keadaan sama.

Orang berjaya memaksa dirinya untuk berubah, manakala orang gagal hanya dipaksa untuk berubah. Perubahan itu perlu ada dalam diri sendiri.

Justeru, untuk berjaya dalam sesuatu pekerjaan, kita harus membina sudut pandang yang betul, nilai tinggi dan sikap yang tepat supaya dengan hal itu kita dapat mencipta kecemerlangan dalam pekerjaan.

Transformasi dan revolusi dalam pekerjaan boleh dilakukan asalkan kita membina tujuan dan matlamat yang betul dalam niat bekerja. Bekerja bukan sekadar mencari rezeki bagi kelangsungan hidup, tetapi pekerjaan akan membawa kita menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat.

Penulis adalah Pengurus Berita Radio IKIMfm

Sumber: BH Online