Berkibar Megah Di Elbrus


PUTRAJAYA - Tepat jam 11 pagi kelmarin (waktu Russia), Jalur Gemilang berkibar megah di puncak tertinggi benua Eropah, Gunung Elbrus selepas berjaya dipacakkan lima anak muda daripada Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJAM).

Usaha lima pendaki yang berjaya menawan gunung berketinggian 5,642 meter (m) itu dibuat menerusi Ekspedisi Merdeka Gunung Elbrus 2017 sejajar dengan misi untuk mengibarkan Jalur Gemilang di bumbung Eropah sempena sambutan kemerdekaan negara.

Mereka ialah Muhammad Illaham Ishak 41, Mohamad Ashaziq Abu Bakar, 26, Zamri Jamingan, 48, Mohd Nizam Aman 40, dan Mafeitzeral Mamat, 41.

Muhammad Illaham yang juga ketua ekspedisi berkata, semua pendaki berdepan pelbagai cabaran termasuk ribut ketika latihan pada ketinggian 5,000 meter (m) dengan kelajuan angin 40 kilometer sejam (km/jam).

“Kami bertolak kira-kira jam 2 pagi waktu Russia dengan cuaca sejuk sehingga mencecah 25 darjah Celsius selain angin yang kuat menyukarkan pendakian awal.

“Perjalanan kali ini jauh kerana kami perlu bermula di ketinggian 4,700m, namun semua peserta mempunyai pengalaman untuk melawan angin kencang sehingga dapat sampai ke puncak...Alhamdulillah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sumber: MyMetro