Bertudung tidak pernah membataskan selebriti tempatan untuk tampil penuh gaya. Malah jika bijak, mereka tetap kelihatan anggun walaupun dalam persalinan santai.
Kita sering saja melihat kebanyakan pemilihan pakaian digayakan wanita bertudung agak terhad dengan baju separa tradisional, gaun labuh atau skirt kembang.
Bagaimanapun lima selebriti wanita ini membuktikan apabila seseorang itu bertudung, mereka boleh lagi berfesyen dan kelihatan ranggi dengan pemilihan pakaian yang sopan.
Mengenakan jean paling mudah untuk seseorang wanita itu kelihatan ranggi seperti mana digayakan Fathia Latiff dan Neelofa.
Bagi menyembunyikan bentuk punggung kerana menggayakan jean melekap tubuh, Fathia mengenakannya dengan baju kurta warna merah jambu sedondon tudung.
Sementara Neelofa menambah gaya santainya dengan jaket longgar paras dada. Jaket lengan panjang bercorak bunga tiga dimensi menjadi titik tumpu dan tarikan kepada penampilannya.
Penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia, Syamila Nuhair memadankan jean hitam dengan dres pendek corak kotak dan cardingan warna sedondon. Sarung tangan turut dipakai untuk memudahkan dirinya bersalaman dengan bukan muhrim.
Siti Nordiana antara selebriti berhijab yang sering menjaga penampilannya dan untuk tampil ranggi, dia memilih untuk memakai seluar palazo dan baju potongan empire dengan renda di bahagian bawah.
Sejauh manapun dia bergaya, Siti Nordiana atau Nana akan memastikan tudung yang dipakai harus melitupi bahagian dadanya.
Sesekali bergaya, pelakon yang kembali aktif Siti Fazurina tampil dengan gaya ranggi di majlis Anugerah Bintang Popular BH 3.0, Mei lalu menggayakan jumpsuit. Apa yang menarik, bahagian seluarnya diberi potongan lebar ala ‘bell bottom’.
Sumber: MyMetro